Perintah berkurung di Esszone dilanjut sehingga 4 Julai

Perintah berkurung di Esszone dilanjut sehingga 4 Julai

KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) – Perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 4 Julai dari 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung yang masuk fasa ke-22 itu merangkumi enam daerah di kawasan pantai timur Sabah, melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan. Beliau berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan rakyat Sabah di daratan Esszone.

“Pelanjutan perintah berkurung ini bagi memudahkan penguatkuasa memantau pergerakan bot yang menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, keputusan melanjutkan perintah berkurung itu turut mendapat sokongan pengusaha chalet dan pihak yang terlibat dalam aktiviti perikanan demi menjamin keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di sempadan.

Jalaluddin berkata kuasa telah diberi kepada semua Ketua Polis Daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau lain-lain aktiviti laluan mendesak.