Perintah berkurung di Esszone dilanjut

Perintah berkurung di Esszone dilanjut

KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) – Perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir Sabtu ini, dilanjut mulai 5 Julai sehingga 20 Julai dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Dengan adanya perintah berkurung ini, ia akan mampu mengekang dan mengurangkan pencerobohan di sempadan perairan sabah,” katanya.

Perintah berkurung yang memasuki Fasa 23 itu merangkumi perairan daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.