Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan

Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan

KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) – Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 19 Mei, berkuat kuasa mulai hari ini dari 7 malam hingga 5 pagi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata berkata perintah berkurung berkenaan membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata langkah meneruskan perintah berkurung adalah bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan berkenaan.

Abdul Rashid berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan Esszone untuk melakukan jenayah rentas sempadan yang lain.