Perintah berkurung di Esszone hingga 6 Julai

Perintah berkurung di Esszone hingga 6 Julai

KOTA KINABALU, 21 Jun (Bernama) – Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang ber-akhir semalam dilanjutkan sehingga 6 Julai, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata perintah berkurung itu, yang berkuat kuasa dari 7 malam hingga 5 pagi, membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuat kuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata langkah meneruskan perintah berkurung itu adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan terbabit.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh di perairan Esszone untuk melakukan jenayah rentas sempadan yang lain.

Katanya, selain untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas pergerakan serta menimbulkan rasa selamat dalam kala-ngan pengusaha chalet dan nelayan melalui kehadiran anggota keselamatan.

Abdul Rashid berkata pihaknya juga telah menurunkan kuasa kepada semua ketua polis daerah di kawasan perintah berkurung itu untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan serta laluan yang mendesak.

ARTIKEL YANG SAMA