Perintah berkurung di ESSZone lanjutkan

Perintah berkurung di ESSZone lanjutkan

KOTA KINABALU, 23 Okt (Bernama) – Fasa ke-30 perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan lagi sehingga 9 November berkuat kuasa dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan para penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan daripada menjadi mangsa rentas sempadan kumpulan-kumpulan pengganas dari selatan negara Filipina.

“Ia juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi pengguna di perairan serta di daratan kawasan ESSZone,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perintah berkurung itu merangkumi tujuh daerah di kawasan pantai timur Sabah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinababatangan, Sandakan dan Beluran, melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan.

Menurut Jalaluddin, arahan itu juga bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta aktiviti perikanan dengan ‘omnipresence’ kapal pasukan keselamatan yang menguatkuasakan perintah berkurung itu.

Beliau berkata kuasa telah diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak.