Perintah Berkurung dilanjut dan diperluas

Perintah Berkurung dilanjut dan diperluas

KOTA KINABALU, 21 Sept (Bernama) – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hari ini mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 8 Oktober dan turut diperluaskan ke daerah Beluran. Beliau berkata keseluruhan kawasan perintah berkurung itu kini meliputi 2236.52 jarak nautika dari kawasan utara Sandakan hingga perairan Beluran.

Katanya, arahan bagi kawasan perintah berkurung itu diperluaskan ke tujuh daerah berbanding enam daerah sebelum ini dikeluarkan selepas mengambil kira situasi keselamatan di kawasan berkenaan serta atas permintaan beberapa pihak.

“Perluasan ini untuk mengukuhkan lagi keselamatan perairan di Sabah. Kita percaya kawasan ini juga mempunyai banyak ‘pintu tikus’ yang boleh dibolosi sehingga ke daratan sepanjang kawasan Esszone. Ini perlu dikawal demi keselamatan dan mengelakkan jenayah rentas sempadan berlaku.

“Kita khuatir banyak kes jenayah daripada Penculikan Bagi Tebusan (KFR) yang cuba masuk melalui kawasan ini,” katanya dan turut mengumumkan fasa ke-27 perintah berkurung di kawasan Esszone yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 8 Oktober, berkuat kuasa dari 7 malam hingga 5 pagi.