Perintah berkurung Esszone dilanjutkan

Perintah berkurung Esszone dilanjutkan

KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) – Fasa ke-24 perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir esok, dilanjutkan bermula 6 hingga 21 Ogos, berkuat kuasa dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Pelaksanaannya melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai perairan enam daerah merangkumi Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, dan Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung itu dijalankan selepas mengambil kira situasi keselamatan di kawasan berkenaan serta atas permintaan banyak pihak.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pendedahan maklumat mengenai ancaman daripada ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba menceroboh, sekaligus melakukan jenayah rentas sempadan termasuk menculik serta samun bersenjata.