Perintah berkurung Esszone dilanjutkan hingga 27 Dis

Perintah berkurung Esszone dilanjutkan hingga 27 Dis

LABUAN, 11 Dis (Bernama) – Perintah berkurung Fasa Ke-33 di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan sehingga 27 Dis mulai 7 malam esok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung di bawah Seksyen 31 (1) Akta Polis 1967 itu meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan, dilanjutkan untuk melindungi kawasan berkenaan daripada dicerobohi pengganas dan jenayah rentas sempadan.

“Perlu diambil perhatian bahawa pelanjutan tempoh perintah berkurung ini diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967,” katanya kepada Bernama hari ini sebelum berlepas pulang ke Kota Kinabalu selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi beliau di sini.

Katanya perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan Pulau Gulisan dan Tg Bidadari di Sandakan, Tg Bidadari dan Pulau Tambisan di Kinabatangan, Pulau Tambisan, Silam dan Tungku di Lahad Datu, Silam, Tungku, Adal dan Terumbu Alice di Kunak, Timbun Mata, Terumbu Alice, Kalumpang dan Batu Unarang di Semporna, Kalumpang, Batu Unarang, Pelabuhan dan Teluk Wallace di Tawau, Jambongan, Pulau Jambongan Timur, Barat Daya Pulau Lihiman, Tg Pundaras, Torongohok, Pura-Pura, Laut-Laut Pura-Pura, Kuala Sugut dan Jambongan di Beluran, Sandakan.

Jalaluddin berkata perintah berkurung itu terbukti efektif dan akan terus dilaksanakan untuk menjamin perairan ESSZone selamat daripada sebarang elemen pencerobohan demi keselamatan penduduk setempat dan pelawat asing dan penyelidik.