Perintah berkurung Kashmir dikenakan semula

Perintah berkurung Kashmir dikenakan semula

SRINAGAR, India, 29 Julai – Pihak berkuasa pada hari ini mengenakan semula perintah berkurung di bandar utama Srinagar di Kashmir untuk menghalang satu perarakan bantahan ke masjid besar yang dianjurkan oleh pemimpin pemisah yang marah dengan pembunuhan seorang pemimpin pemberontak terkenal pada awal bulan ini.

Penduduk berkata tentera kerajaan melawat rumah di Srinagar sebelum subuh dan meminta mereka supaya tinggal di dalam rumah.

Bandar itu melihat pertempuran di antara tentera kerajaan dan pembantah walaupun ketika perintah berkurung yang dikuatkuasakan sejak keganasan pada 9 Julai, dicetuskan oleh pembunuhan pemberontak, dibatalkan semalam. Doktor di hospital besar berkata mereka merawat berpuluh orang, kebanyakan mereka dengan kecederaan peluru daripada senjata yang ditembak oleh anggota keselamatan.

Seorang penduduk, Bashir Ahmed, berkata polis tidak membenarkan pembuat roti dan penjual susu untuk menghantar bekalan di kawasan itu.

Anggota keselamatan terus menggunakan penabur senapang meskipun menerima amaran daripada Menteri Dalam negeri India Rajnath Singh supaya meminimumkan penggunaan mereka disebabkan kecederaan mata serius terha-dap pembantah, ada di antara mereka telah menjadi buta.

Para pegawai keselamatan India melontar batu kepada para pembantah Kashmir semasa pertempuran di kawasan Batmaloo, Srinagar pada 28 Julai. - AFP
Para pegawai keselamatan India melontar batu kepada para pembantah Kashmir semasa pertempuran di kawasan Batmaloo, Srinagar pada 28 Julai. – AFP

Pemimpin pemisah utama Syed Ali Geelani, Mirwaiz Omer Farooq dan Yasin Malik menggesa perarakan bantahan diadakan ke masjid utama Masjid Jamia pada hari ini sebelum sembahyang Jumaat, dan juga di tempat lain di Lembah Kashmir.

Pihak berkuasa telah menempatkan Geelani dan Mirwaiz Farooq di bawah penahanan dalam rumah, dan Malik dalam lokap polis untuk menghalang mereka daripada memimpin bantahan, kata polis.

Kedai, perniagaan dan sekolah masih ditutup tatkala pemisah meminta orang supaya mengadakan mogok dan bantahan jalan raya sehingga Jumaat.

Kawasan selatan Kashmir di mana kebanyakan bantahan jalan bertumpu masih diletak di bawah perintah berkurung selepas komander pemberontak tertinggi Burhan Wani dibunuh oleh tentera kerajaan pada 8 Julai. Sekurang-kurangnya 49 orang awam, kebanyakannya remaja dan lelaki muda, telah terbunuh tatkala tentera kerajaan menembak peluru hidup dan pelet. Seorang anggota polis juga terbunuh selepas pembantah menolak kenderaannya ke dalam sebatang sungai.

Kira-kira 2,000 orang awam dan 1,500 polis dan tentera telah cedera dalam pertempuran. – AP