Perintah berkurung tidak jejas rezeki

Perintah berkurung tidak jejas rezeki

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) – Penguatkuasaan perintah berkurung di enam daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tidak menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk terutama komuniti maritim di kawasan itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sepanjang perintah berkurung dilaksanakan, permit-permit pengecualian telah dikeluarkan kepada bot-bot nelayan yang bercadang menangkap ikan dengan jarak maksima sejauh lima batu nautika dari pantai.

“Sehingga Mei, sepanjang perintah berkurung fasa ke-19, sebanyak 462 permit telah dikeluarkan kepada bot-bot nelayan, feri dan kapal-kapal dagang bagi melakukan aktiviti ekonomi mereka…Sepanjang perintah berkurung dikuatkuasakan, sebanyak 7,245 permit telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) yang ingin tahu bilakah perintah berkurung di Esszone akan ditamatkan atau ditarik balik kerana mendakwa telah lama mengganggu dan mengekang pergerakan rakyat di perairan Timur Sabah untuk mencari rezeki.