Perintah Kawalan Bangunan diperkenankan

Perintah Kawalan Bangunan diperkenankan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Perintah Kawalan Bangunan 2014, dikuatkuasakan mulai 1 November 2015 dengan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) sebagai pentadbir perintah berkenaan.

Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataan hari ini berkata, Perintah tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk memperbaiki peraturan yang sedia ada untuk menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan di negara ini.

Perintah tersebut memperuntukkan bahawa hanya Orang Berkelayakan (Qualified Persons) yang dilantik pemaju sahaja yang boleh menghadapkan pelan dan Orang Berkelayakan dan pembina-pembina akan bertanggungjawab untuk memastikan kemajuan yang dijalankan mengikut peraturan dan piawaian yang ditetapkan.

Menurut kenyataan lagi, langkah tersebut adalah bagi memperkukuhkan perkhidmatan ABCi dengan menambah baik tadbir urus Orang Berkelayakan dan pembina-pembina dengan memastikan sebarang permohonan kemajuan atau pembinaan akan diproses selaras dengan peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perintah tersebut dan undang-undang lain yang berkenaan.

“Dengan memusatkan semua penerimaan permohonan kebenaran kemajuan, pembinaan, mendiami bangunan termasuk bagi kemajuan dalam kawasan-kawasan Bandaran, ABCi bukan sahaja akan menyelaraskan proses-proses tetapi juga memastikan keberkesanan pelaksanaan Perintah tersebut. “Ini akan membantu meningkatkan kualiti, menjimatkan kos dan masa dan turut memantapkan negara dalam urusan mengendalikan perniagaan,” kata kenyataan itu lagi.

Kementerian Pembangunan berkata, dalam Laporan Doing Business 2016 oleh Bank Dunia, Negara Brunei Darussalam mencapai kedudukan 21 daripada 189 ekonomi dunia bagi petunjuk Berurusan Dengan Kebenaran Pembinaan.

Sebagai usaha berterusan bagi memperbaiki perkhidmatan tersebut dan dalam konteks petunjuk Bank Dunia, proses mendapatkan kebenaran pembinaan telah dipermudahkan kepada lima peringkat sahaja iaitu mendapatkan Kebenaran Perancangan dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa; mendapatkan Kebenaran Kemajuan dari ABCi; mendapatkan Kebenaran Memulakan Kemajuan dari ABCi; mendapatkan Kebenaran Memulakan Kemajuan dari ABCi; mendapatkan Kebenaran Mendiami dari ABCi; dan mendapatkan Penyambungan Air dari Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya.

Pelaksanaan tersebut akan menyumbang kepada tadbir urus yang cekap untuk mempercepatkan kelulusan pembangunan dan menggalakkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Brunei, kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA