Perintah Ketidaksolvenan 2016 dikuatkuasa

Perintah Ketidaksolvenan 2016 dikuatkuasa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pengenalan satu rang undang-undang yang dinamakan Perintah Ketidaksolvenan (Insolvency Order), 2016 yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2016.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, perintah yang baru diperkenalkan itu, mengandungi peruntukan-peruntukan penggulungan berhubung ketidaksolvenan korporat yang terdapat di Akta Syarikat (Penggal 39).

Perintah berkenaan bertujuan untuk memberikan penekanan yang lebih terhadap penstrukturan semula dan pemulihan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan operasi bagi tempoh sementara.

Antara ciri-ciri baru dalam perintah berkenaan ialah berhubung dengan company voluntary arrangement yang membolehkan sesebuah syarikat berunding dengan pihak pemiutang (creditors) bagi penstrukturan semula hutang-piutang atau penyusunan semula syarikat.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi melengkapkan peruntukan itu, dalam penggulungan sesebuah syarikat, pembayaran hutang juga akan disenaraikan mengikut keutamaan daripada semua hutang tidak bercagar (unsecured debts).

Maklumat lanjut mengenai Perintah Ketidaksolvenan, 2016 boleh diperoleh di laman sesawang www.mof.gov.bn atau www.business.gov.bn. Salinan perintah itu juga boleh didapatkan di Jabatan Percetakan Kerajaan atau boleh dimuat turun menerusi laman sesawang Pejabat Peguam Negara, www.agc.gov.bn.