Perisian Infosys lapor peningkatan

Perisian Infosys lapor peningkatan

BANGALORE, India, 14 Jan (AFP) – Syarikat perisian India Infosys melaporkan kenaikan yang lebih baik daripada dijangka sebanyak 6.6 peratus dalam pendapatan suku hari ini, menghapus kesan banjir di Chennai dan menyebabkan sahamnya meningkat.

Pengeksport perkhidmatan IT kedua terbesar negara itu berkata keuntungan bersihnya untuk Oktober sehingga Disember 2015 meningkat kepada 34.65 bilion rupee daripada 32.5 bilion rupee setahun sebelumnya.

Ia melebihi jangkaan penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg, yang menjangka satu pengumuman keuntungan sebanyak 33.5 bilion rupee daripada jualan 157.6 bilion rupee.

Infoys berkata dalam satu kenyataan bahawa jualannya telah mencecah 159.02 bilion rupee, satu pertambahan sebanyak 15 peratus.

Sahamnya meningkat sebanyak 5.31 peratus di Bursa Saham Bombay selepas pengumuman itu.

Pendapatan Infosys dijangka terjejas akibat banjir teruk di Chennai pada akhir tahun, yang membunuh lebih daripada 250 orang, dan membanjiri pejabat kebanyakan firma IT terkenal.

“Kami menjangkakan perubahan tetapi saya berasa amat gembira dengan prestasi kukuh dan melihat tahun kewangan yang lebih baik,” beritahu CEO Vishal Sikka kepada wartawan.

“Sekarang kami menjangka pendapatan tahun penuh bertambah di antara 12.8 peratus hingga 13.2 peratus daripada 10 hingga 12 peratus sebelumnya,” tambah beliau.

Ketua pegawai operasi U.B. Pravin Rao berkata perjanjian berpotensi bernilai AS$3 bilion akan membantu firma yang berpangkalan di Bangalore memenuhi ramalan pertumbuhan baru mereka.

Infosys menandatangani empat perjanjian baru dan menambah 75 pelanggan baru pada suku itu, menurut kenyataan.

ARTIKEL YANG SAMA