Perisian pantau bagasi, kelakuan mencurigakan

Perisian pantau bagasi, kelakuan mencurigakan

PARIS, 17 Dis – Perisian yang memantau kelakuan dan bagasi mencurigakan mungkin akhirnya disepadukan ke dalam 40,000 kamera pengawasan di seluruh Perancis, menurut sebuah firma landasan kereta api berkata semalam, ketika negara mengetatkan keselamatan selepas serangan maut di Paris bulan lalu.

Pihak berkuasa pengangkutan awam memberi tumpuan kepada teknologi untuk dengan lebih baik lagi menjangkakan tanda-tanda amaran di kalangan para penumpang selepas kejadian tembakan dan pengeboman yang mengorbankan 130 orang.

Perisian baru sedang diuji oleh SNCF milik kerajaan Perancis menjejaki perubahan dalam suhu badan, suara-suara yang ditinggikan dan pergerakan badan yang tersentak-sentak yang boleh memperlihatkan tahap kerisauan yang meningkat, setiausaha agung firma landasan itu Stephane Volant memberitahu AFP.

“Kami sedang menguji untuk menilai apakah yang mendorong orang mempunyai niat negatif, penyerang atau peraba,” ujarnya, tetapi menambah kata apa yang juga sedang dipastikan ialah tahap kebolehterimaan sosial’ perisian seumpama ini.

Kamera-kamera yang mengesan bungkusan yang ditinggalkan tanpa jagaan bagi tempoh terlalu lama juga dinilai, kata Volant, menambah kata eksperimen telah mendapat sokongan penuh undang-undang.

Satu lagi elemen strategi SNCF, ialah kemungkinan melengkapkan kakitangannya dengan kamera yang boleh dipakai untuk mengenal pasti penipuan tambang atau kelakuan yang dicurigai, dan pada musim bunga ia akan melancarkan satu aplikasi yang membolehkan para penumpang untuk mengeluarkan amaran kecemasan dari telefon pintar mereka.

Undang-undang juga sedang dipertimbangkan di Perancis untuk memberikan kuasa kepada ejen-ejen keselamatan SNCF untuk meraba bagi keselamatan dan memeriksa bagasi penumpang.

Perancis akan memasang pagar keselamatan di stesen-stesen di Paris dan Lille bagi perkhidmatan landasan selat Eropah Thalys menjelang 20 Disember di salah satu langkah-langkah yang diperkenalkan selepas serangan di Paris, menteri Segolene Royal berkata Selasa lalu. – AFP