Perisic, D’Ambrosio suntik semangat Milan

Perisic, D’Ambrosio suntik semangat Milan

MILAN, 13 Mac (AFP) – Jaringan lewat Ivan Perisic dan Danilo D’Ambrosio membantu kemenangan 2-1 Inter Milan ke atas Bologna semalam seterusnya menyuntik semangat Milan yang berazam menamatkan penantian empat tahun dalam kancah Liga Juara-Juara.

Bologna, yang kehilangan penyerang Mattia Destro ekoran kecederaan pada minit awal perlawanan, tampak seakan buntu dalam mencari kemenangan keempat berturut-turut di San Siro.

Meskipun Franco Brienza meledak gol sagu hati perlawanan, Inter bagaimanapun menunjukkan penguasaan apabila merangkul kemenangan ke-16 pasukan seterusnya meletakkan mereka di kedudukan keempat dengan dua mata di belakang Roma, sebuah kelab yang menghuni tangga ketiga dan slot terakhir Liga Juara-Juara.

Fiorentina mungkin dapat merampas kembali kedudukan keempat itu sekiranya mereka mampu menewaskan Verona malam ini namun jurulatih Inter, Roberto Mancini jelas berbangga dengan prestasi anak buahnya.

“Saya berpuashati kerana Bologna tidak pernah bolos dalam tiga perlawanan,” katanya.

“Kami sekali lagi melakukan yang terbaik di babak kedua namun kami tidak boleh menjaringkan gol lewat seperti yang kami lakukan ini.”

Inter, yang kali terakhir tampil menyertai Liga Juara-Juara pada tahun 2012 dan tewas kepada Marseille dalam pusingan 16 terbaik, dikejutkan pada awal minit perlawanan apabila Mauro Icardi terpaksa dikeluarkan selepas cedera lutut.

Statusnya kini diragui menjelang kunjungan ke Roma minggu depan, tatkala pemain simpanan yang dimasukkan di babak kedua Rodrigo Palacio mungkin dicicirkan daripada perlawanan selepas diberi amaran penggantungan.

Namun ketiadaan Icardi tidak menggugat tuan rumah dan Perisic menjaringkan gol meyakinkan pada minit ke-72 sebelum D’Ambrosio menjamin kemenangan, selang empat minit selepas itu.

ARTIKEL YANG SAMA