Perisik dakwa...

Perisik dakwa temui maklumat mencurigai mengenai Trump

WASHINGTON, 11 Jan – Ketua-ketua pengintip AS telah memaklumkan Donald Trump bahawa ejen-ejen perisikan Rusia mendakwa memiliki maklumat kewangan dan peribadi yang mencurigakan tentang beliau, media AS melaporkan semalam sebelum sidang media pertama presiden yang baru dilantik itu.

Trump menyelar ‘pemburuan politik’ selepas CNN melaporkan bahawa para pegawai perisikan yang menyampaikan kepadanya penerangan ringkas minggu lalu tentang dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS juga telah memberikannya sinopsis dakwaan yang amat sensitif dan tidak disahkan.

“Berita palsu pemburuan politik sepenuhnya,” kata Trump di Twitter.

Ketua-ketua perisikan minggu lau telah menyampaikan kepada bakal presiden Amerika ke-45 dan juga presiden masa ini, Barack Obama, sinopsis dua muka surat tentang perkara yang boleh memalukan, menurut CNN dan The New York Times, yang memetik ramai pegawai AS yang tidak dinyatakan nama mereka yang mengetahui langsung tentang pertemuan itu.

Gambar fail pada 28 Disember 2016 menunjukkan Trump ketika mendengar soalan pemberita di Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida. Ketua-ketua pengintip AS telah memaklumkan Donald Trump bahawa ejen-ejen perisikan Rusia mendakwa memiliki maklumat kewangan dan peribadi yang mencurigakan tentang beliau. – AP
Gambar fail pada 28 Disember 2016 menunjukkan Trump ketika mendengar soalan pemberita di Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida. Ketua-ketua pengintip AS telah memaklumkan Donald Trump bahawa ejen-ejen perisikan Rusia mendakwa memiliki maklumat kewangan dan peribadi yang mencurigakan tentang beliau. – AP

Petang semalam Obama telah menyampaikan ucapan selamat tinggal beliau ketika laporan menggemparkan bergema dalam lingkaran politik dan diplomatik dengan tinggal 10 hari saja lagi Trump akan mengangkat sumpah.

Pemimpin AS yang akan meninggalkan jawatannya hanya menambah sedikit secara terbuka tentang pendedahan menggemparkan itu.

“Saya belum melihat laporan itu, kami berada dalam kapal terbang bersama-sama dan saya belum membaca berita sejak itu dan demi prinsip dan keselamatan negara saya tidak mengulas tentang maklumat yang dikelaskan,” presiden berkata dalam temu bual dengan NBC News lewat semalam.

Bagaimanapun beliau menambah kata bahawa, beliau berharap Kongres dan pentadbiran Trump akan terus berusaha ke arah mencari jawapan tentang siapa bertanggung jawab menggodam skandal yang mengganggu politik Amerika dalam beberapa bulan kebelakangan. – AFP