Peristiwa agung Israk dan Mikraj jadikan peringatan

Peristiwa agung Israk dan Mikraj jadikan peringatan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Sambutan Israk Mikraj terus disemarakkan melalui pelbagai acara dan aktiviti keagamaan sama ada dari agensi-agensi kerajaan, persatuan atau perkumpulan.

Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ tidak ketinggalan meraikan Israk Mikraj melalui ceramah khas di Dewan Serba guna Kemasyarakatan Mukim Sengkurong hari ini yang dihadiri tetamu kehormat, Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah binti Haji Mohammad Yassin.

Ceramah khas itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Rasinah binti Haji Ahim yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai sejarah dan peristiwa agung yang berlaku semasa Israk Mikraj serta pengajaran dan peringatan yang boleh diambil oleh umat Islam.

Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah bersama para tetamu yang lain pada majlis sambutan Israk dan Mikraj tersebut.
Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah bersama para tetamu yang lain pada majlis sambutan Israk dan Mikraj tersebut.

Beliau turut menekankan bahawa peristiwa itu antara satu mukjizat besar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah S.A.W dengan perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan dibawa ke Langit Tujuh dan Sidratul Muntaha serta menemukan Baginda Rasulullah dengan para rasul seperti Nabi Adam a.s, Nabi Yahya a.s, Nabi Isa a.s, Nabi Idris a.s, Nabi Harun a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa Israk Mikraj Rasulullah merangkumi pengajaran daripada aspek akidah, syariah dan akhlak, tambahnya.

Manakala Pengerusi Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B,’ Datin Hajah Rohanie binti Ahmad, menjelaskan majlis bertujuan menyemarakkan syiar Islam di negara ini, selain memberi kesedaran mengenai kebesaran Allah S.W.T dan merapatkan hubungan silaturahim di kalangan warga perkumpulan wanita kampung itu.

ARTIKEL YANG SAMA