Peristiwa misteri di satu malam

Peristiwa misteri di satu malam

Oleh Khalidredza

 

MALAM semakin lewat tetapi Mahadi tetap dengan kerjanya. Dia sedang mengulang kaji nota-nota kuliahnya untuk subjek Literary Criticism yang diambilnya untuk semester itu. Dr. Jalal bukanlah seorang pensyarah biasa yang akan memudahkan pelajar-pelajarnya ketika menjawab soalan peperiksaan. Pensyarah itu mempunyai falsafah bahawa dia lebih rela pelajar tidak menyukainya daripada dia merendahkan kualiti pelajar yang dihasilkannya.

Walaupun begitu, Mahadi tetap menggemari cara Dr. Jalal menjalankan kelasnya. Setiap kelas pensyarah itu akan padat dengan perbincangan yang menyeluruh walaupun kadang-kala terlalu banyak isu yang dibincangkan. Mahadi berpendapat, cara sedemikian lebih memantapkan dirinya sebagai seorang pelajar di sebuah universiti. Bukannya mencari jalan singkat untuk lulus sesuatu subjek dengan mudah seperti yang dilakukan oleh sesetengah rakan-rakannya.

Jam menunjukkan 2.30 pagi dan Mahadi berhenti sejenak untuk melegakan urat-urat yang tegang. Dia baru saja menghabiskan Apology for Poetry oleh Philip Sidney dan ianya adalah satu bacaan yang agak berat. Perdebatan yang mengatakan sajak dan puisi adalah membuang masa dan merosakkan jiwa adalah topik yang dibincangkan Sidney di dalam karyanya itu.

Mahadi menggeliat sedikit sebelum mencapai gitar tongnya dan memetik perlahan tali-temali gitar kesayangannya itu. Dia tidak memainkannya kuat-kuat seperti biasa kerana hari sudah lewat malam dan sedang beranjak ke siang hari. Dia berseorangan di dalam bilik yang di kongsi bersama tiga orang rakannya. Rakan-rakannya yang lain keluar untuk menonton perlawanan bola dan mereka tidak akan balik sehingga pagi.

Maklum sajalah, hujung-hujung minggu, memang itulah kebiasaan mereka. Ada juga mereka mengajaknya keluar sekali, tetapi dia menolak dengan baik. Mereka pun tidak bertanya lagi dan dia pun tidak kisah tinggal seorang di dalam bilik. “Nak takut apa, kata anak lelaki…” getusnya perlahan sambil tertawa kecil. Jari-jemarinya terus-terusan memetik tali gitar dan memainkan beberapa lagu berunsurkan sentimental.

Tiba-tiba saja angin yang kencang bertiup dari tingkapnya yang terbuka membuatkan dia tersentak dan berhenti dari memainkan gitarnya itu. Secara tiba-tiba juga, bulu tengkuknya berdiri dan dia mula rasa tidak sedap hati. Beberapa ketika berlalu sebelum dia berasa normal semula. “Ah, tak ada apa-apalah, angin saja… Aku je yang fikir macam-macam…” katanya sendiri sekadar menyedapkan hati.

Baru saja dia hendak memulakan kembali pembacaannya, dia mendengar ada bunyi tapak kaki yang sedang melangkah perlahan-lahan dari arah tingkapnya. “Siapa pula yang jalan malam-malam macam ni?” tanya sendiri dan bagaikan menjawab soalannya, dia melihat ada seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi tingkapnya itu. Rupa-rupanya lelaki itu adalah Pak Hamid, seorang daripada pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu. “Hah, ni kenapa tak tidur lagi ni, kan dah lewat malam?” tegur Pak Hamid kepada Mahadi.

“Saya sedang baca buku Pak Hamid, periksa pun tak lama lagi, tinggal sebulan lebih je lagi…” balasnya jujur. “Oh, macam tu.. Baguslah kalau kau tidur lewat malam-malam macam ni untuk belajar… Jangan jadi macam anak pakcik, tidur malam lewat bukan belajar, sibuk buang masa dengan benda-benda tak berfaedah dengan kawan-kawan dia tu..” balas Pak Hamid. “Apa nak dikata Pak Hamid, orang muda, memang macam tu, saya ni pun mengenangkan yang saya ni bukannya orang senang, nak majukan diri dan senangkan keluarga, kalau tak, agaknya saya pun dah menyeleweng.. Haha..”

Pak Hamid tertawa sedikit mendengarkan kata-kata Mahadi sebelum terdiam seketika. Malam yang sunyi merantai suasana yang hening. Tiada apa yang terluah daripada Pak Hamid ataupun Mahadi. Tiba-tiba saja Mahadi mendengar pintu depan bilik itu di buka dan dia dapat mendengar suara rakan-rakannya.

“Kawan-kawan kau baru balik ke? Macam mana mereka dapat masuk? Bukan pintu pagar dah tutup ke? Ini tak lain, mereka dah hulur si Rashid tu roti canai dua, tiga keping dengan teh tarik panas… Memang nak kena si Rashid ni…” kata Pak Hamid. “Maafkanlah mereka Pak Hamid, hujung-hujung minggu macam ni, tengok bola, budak lelaki lah katakan…” balas Mahadi. “Iyelah, pakcik gerak dululah, nak bagi ingat si Rashid tu…” sahut Pak Hamid lalu melangkah perlahan-lahan.

Mahadi menjenguk keluar tingkap untuk melihat Pak Hamid berlalu pergi apabila bahunya ditepuk seseorang. “Hoi, tengok apa malam-malam macam ni?” tanya Harun, rakan sebiliknya. “Kau ni, buat aku terkejut je, aku baru habis berborak dengan Pak Hamid tadi.. Hah, kau orang semua balik awal malam ni, tak jadi pergi tengok bola ke?” balas Mahadi. “Tak, kami tak pergi pun.. Kau kata kau baru berborak dengan Pak Hamid? Biar betul kau ni…” balas Harun. “Iyelah, kenapa? Kau ingat aku main-main ke?” tanya Mahadi.

Harun tidak menjawab serta-merta sebaliknya memanggil dua lagi rakan sebiliknya itu. Amir dan Zulkifli segera datang menyahut panggilan Harun. Mereka agak kehairanan apabila mendengarkan cerita Mahadi daripada Harun yang mengatakan dia baru saja berborak dengan Pak Hamid. “Tak mungkinlah Mahadi, tak mungkin yang datang tadi tu Pak Hamid…” kata Amir sambil menggelengkan kepalanya. “Apa yang tak mungkinnya? Cuba jelaskan?” Mahadi bertanya dengan sedikit rasa panas hati.

“Baiklah, satu, kami tak pergi tengok bola pasal tadi Abang Rashid beritahu yang Pak Hamid meninggal, dia kena langgar dengan kereta masa dia nak melintas jalan dari warung yang dekat dengan pondok pengawal tu, dia minta tolong kami carikan anak dia yang duduk tak jauh dari sini… Dua, bilik kita ni tingkat enam, tepi tingkat kau mana ada tempat untuk orang berjalan…” terang Zulkifli kepada Mahadi.

Mahadi berasa seperti melayang-layang seketika sebelum dibantu oleh rakan-rakannya. Kepalanya berpusing-pusing mengenangkan kejadian yang baru saja berlaku kepadanya. Dia memang langsung tidak teringat yang bilik itu berada di tingkat enam dan tingkap biliknya di mana dia baru saja ‘berborak’ dengan Pak Hamid, memang tidak ada tempat berjalan, tingkat enam kan!

Nasib baiklah tidak ada apa-apa kejadian lain yang tidak diingini yang berlaku. Namun, Mahadi sudah bertekad untuk tidak lagi tidur terlalu lewat dan membuka tingkap biliknya pada malam-malam hari!

Seram tak?

“Hah, itulah ceritanya… Amacam, seram tak?” tanya Yunus kepada budak junior itu sebelum menghirup air Coke dari cawan plastik.

Dia adalah seorang senior di universiti itu dan dia suka menakut-nakutkan junior dengan cerita-cerita seram yang di katakan benar-benar terjadi di kampus itu. Malam itu, dia berkunjung ke sebuah bilik dan dia mendapati yang hanya ada seorang junior di bilik itu. Apabila ditanya, jawapan yang diterima adalah belum ada pelajar lain yang memasuki bilik itu. Yunus tidak kisah sangat malah lebih suka dengan keadaan sunyi sebegitu, supaya timbul mood yang lebih nyata. “Seram jugak, tapi…” dia tidak menghabiskan ayatnya kerana bunyi pintu dibuka dan kedengaran suara rakan Yunus memanggilnya dari luar bilik itu.

Yunus bingkas bangun lalu bergerak menuju ke pintu sebelum ditarik rakannya keluar dengan pantas. Dia hampir saja jatuh terjerumus tetapi sempat ditahan oleh rakannya yang lain.

“Eh, apa hal kau ni? Tarik aku macam tu sekali?” tanya Yunus dengan garang. “Kau buat apa kat dalam tu? Kau dah gila ke?” tanya rakannya. “Apasal kau kata aku ni gila? Kan aku buat benda biasa yang kita buat tiap-tiap kali ada junior baru… kita kan suka cerita kat diorang cerita-cerita seram kat kampus ni.. kenapa aku dikata gila pulak?” sahutnya dengan nada marah. “Kau pusing, dan kau tengok sendiri…” balas rakannya sambil memeluk tubuh.

Yunus pun berpaling untuk menghadap ke arah pintu bilik di mana dia baru saja menghabiskan masa setengah jam bercerita kepada budak junior yang nama pun dia lupa hendak bertanya. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati bahawa itu bukanlah bilik untuk para pelajar, sebaliknya stor lama yang sudah berdebu dan penuh dengan sampah. Setahunya stor itu memang ditutup dan para pelajar dilarang untuk berada di kawasan yang berdekatan dengan stor itu kerana tidak selamat.

Dia dapat melihat daripada pintu yang terbuka itu, bayang-bayang hitam seakan-akan susuk tubuh junior yang baru saja melayan ceritanya. Dia juga dapat melihat cawan plastik yang terisi air hitam yang berbau hanyir, dan dia menyedari air itulah yang diminumnya sebentar tadi apabila dihulur oleh budak junior itu. Tekaknya terasa loya, perutnya mulai memulas, kepalanya pening serta-merta dan kakinya terasa lembik dan tidak bermaya. Yunus pitam dan tidak sedarkan diri sehingga dia terbangun tiga hari kemudian.

Menurut cerita rakan-rakannya, mereka kehairanan apabila Yunus hilang secara tiba-tiba lalu mereka memutuskan untuk mencarinya di kawasan sekitar. Apabila tidak juga berjumpa dengannya, salah seorang rakannya mencadangkan supaya mereka memeriksa kawasan stor lama itu, manalah tahu, kalau-kalau Yunus ada di situ.

Mereka berasa terperanjat apabila melihat pintu stor sedikit terbuka kerana setahu mereka pintu itu sentiasa berkunci. Tambah mengejutkan mereka apabila mendengar suara Yunus berbual-bual dengan seseorang atau sesuatu lalu mereka nekad menyelak sedikit pintu stor itu dan memanggil Yunus keluar. Selebihnya, Yunus mengalaminya sendiri.

Semenjak itu, Yunus dan rakan-rakannya tidak lagi berani menjalankan aktiviti kesukaan mereka iaitu berkunjung ke bilik-bilik para junior untuk menakut-nakutkan mereka dengan cerita-cerita seram di kampus itu. Mereka takut kejadian yang menimpa Yunus, akan berlaku kepada salah seorang dari mereka malah, siapa tahu, barangkali lebih dahsyat!

ARTIKEL YANG SAMA