Perit tinggalkan Barcelona, kata Xavi

Perit tinggalkan Barcelona, kata Xavi

BERLIN, 7 Jun (AFP) – Pemecah rekod, Xavi Hernandez berkata adalah ‘brutal’ untuk meninggalkan Barcelona selepas menjulang trofi Liga Juara–Juara pada kemunculan terakhirnya dalam jersi terkenal itu.

Pemain berusia 35 tahun itu diturunkan pada minit ke-78 untuk mencatatkan rekod baru 151 kemunculan Liga Juara–Juara dalam kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Juventus dalam persaingan akhir di Berlin.

Selepas bermula di gergasi Catalan pada usia 11 tahun, Xavi akan menyertai pasukan dari Qatar, Al Sadd musim depan. Dia mengakui meninggalkan Barcelona akan menjejaskannya setelah memenangi gelaran ke-25 bersama kelab itu.

“Untuk keluar dengan cara ini adalah brutal,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu, yang kehilangan tempat dalam pasukan utama kepada Ivan Rakitic musim ini.

“Saya mempunyai nostalgia, memikirkan saya tidak akan beraksi bagi pasukan itu lagi dan saya mahu menjulang piala.”

Xavi berkata perkara terbaik bagi Barcelona sekarang adalah Luis Enrique kekal sebagai ketua jurulatih setelah meletakkan masa depannya terbuka, biarpun mencatatkan tiga kemenangan terdiri daripada gelaran Eropah, Piala Sepanyol dan liga dalam kemunculannya.

“Luis Enrique layak menerima ini kerana dia banyak kritikan, tetapi dia seorang ketua pasukan yang hebat. Perkara terbaik tahun depan adalah Luis Enrique kekal,” kata Xavi.

Pertahanan Gerard Pique berkata Xavi adalah sebahagian daripada ‘generasi unik’ di Barcelona yang berjaya menamatkan musim kemarau tanpa trofi begitu juga menikmati kejayaan.

“Xavi layak untuk segala-galanya. Dia meninggalkan kami dengan legasi penting: bagaimana untuk bermain bola sepak dan mencatat kemenangan dan menangani kekalahan. Dia selalu bersama kami,” kata Pique.

ARTIKEL YANG SAMA