Perjalanan kelas ekonomi meningkat

Perjalanan kelas ekonomi meningkat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Perjalanan penumpang di pasaran antarabangsa bagi Mei meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, mengatasi kenaikan 3.8 peratus pada April, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan hari ini berkata perjalanan kelas ekonomi berkembang kukuh berbanding perjalanan udara antarabangsa premium, dan walaupun pertumbuhan dicatatkan di seluruh kebanyakan pasaran utama, ia dipacu terutamanya daripada pasaran dalam Eropah.

Perjalanan kelas ekonomi meningkat 6.4 peratus pada Mei tahun ke tahun, mengatasi pertumbuhan April pada 4.2 peratus.

“Pertumbuhan kukuh perjalanan liburan kelas ekonomi pasaran perjalanan yang lebih sensitif kepada harga disokong oleh harga tambang yang rendah,” kata persatuan itu.

IATA berkata perjalanan premium juga meningkat pada Mei, tetapi pada kadar perlahan (4.1 peratus).

“Ini mencerminkan kelemahan berterusan dalam pemacu permintaan perjalanan perniagaan dengan keyakinan perniagaan global terjejas oleh kelemahan ekonomi di pasaran sedang pesat membangun.

“Pemacu utama pertumbuhan pantas dalam perjalanan udara antarabangsa ialah peningkatan dalam pasaran Eropah,” kata persatuan itu.

IATA berkata pada Mei, pasaran tersebut meningkat 5.1 peratus, hampir berganda daripada kadar pertumbuhan yang dicatatkan setakat tahun ini, disokong oleh peningkatan keyakinan perniagaan yang mengesahkan pemulihan ekonominya kembali berada di landasan.

Pada masa hadapan, walaupun kelembapan pembangunan ekonomi di beberapa pasaran sedang pesat membangun terus menyediakan risiko negatif kepada pertumbuhan perjalanan udara antarabangsa, keadaan ekonomi yang lebih baik di negara-negara maju dijangka mengekalkan peningkatan jumlah penumpang ketika ini. – Bernama