Perjalanan program SSEAYP bermula

Perjalanan program SSEAYP bermula

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Seramai 28 orang belia Negara Brunei Darussalam, kelmarin, telah berlepas ke Jepun bagi mengikuti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) ke-42 yang berlangsung selama 51 hari bermula hari ini hingga 16 Disember.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada kontinjen Brunei berkenaan ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, para pegawai kanan dan kakitangan di Jabatan Belia dan Sukan.

Rombongan belia berkenaan yang diketuai oleh Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim selaku ketua kontinjen, akan menyertai lebih 300 peserta lain dari 11 buah negara dalam program pertukaran belia antarabangsa berkenaan yang dilaksanakan khusus untuk para belia di negara anggota ASEAN dan Jepun.

Menurut kenyataan Jabatan Belia dan Sukan, Program SSEAYP 2015 ini memberikan peluang kepada para peserta tentang cara hidup dan berinteraksi secara sihat di samping melawat dan mempelajari negara-negara yang dikunjungi apabila peserta terlibat secara langsung dengan penduduk tempatan.

Antara aktiviti-aktiviti di atas kapal antaranya termasuk memperkenalkan negara masing-masing, perbincangan, aktiviti kelab, taklimat-taklimat, dan banyak lagi. Sementara itu, aktiviti di negara yang disinggahi termasuk kunjungan hormat kepada pembesar-pembesar negara, interaksi bersama belia tempatan, tinggal bersama keluarga angkat, lawatan sambil belajar dan sebagainya.

Wajah-wajah ceria para peserta Program SSEAYP ke-42 sebelum berlepas meninggalkan negara.
Wajah-wajah ceria para peserta Program SSEAYP ke-42 sebelum berlepas meninggalkan negara.
Belia-belia yang mengikuti program tersebut membaca doa selamat sebelum berlepas.
Belia-belia yang mengikuti program tersebut membaca doa selamat sebelum berlepas.

Program ini merupakan program tahunan yang telah bermula sejak tahun 1974, dikelolakan dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dengan kerjasama negara-negara ASEAN dan penyertaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini merupakan yang ke-30 sejak penyertaan rasminya pada tahun 1985. Objektifnya adalah untuk mengukuhkan persahabatan dan memupuk persefahaman di antara generasi muda terutama golongan belia serantau dan jepun ke arah kerjasama dalam semua bidang pada masa akan datang dan bertukar-tukar pendapat serta pandangan.

Menerusi program ini juga dapat memperkenalkan budaya masing-masing serta mengenal semangat serta menghormati persamaan dan perbezaan yang amat penting kepada bakal pemimpin.

Objektif program ini telah dipersetujui bersama oleh ketua-ketua negara ASEAN dan Jepun melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani pada tahun 1974, yang mana Negara Brunei Darussalam menyertai program ini sejak tahun 1984 selaku negara pemerhati dan tahun berikutnya barulah Negara Brunei Darussalam menyertai program ini secara penyertaan penuh.

ARTIKEL YANG SAMA