Perjanjian CPTPP beri ‘manfaat besar’

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Malaysia bakal menjadi penerima manfaat terbesar Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Moody’s Investors Service, Inc.

“Perjanjian itu menyediakan akses ke pasaran baharu, termasuk Kanada, Peru dan Mexico, yang memberi manfaat kepada pengeksport minyak sawit, getah dan elektronik,” katanya.

Pemantauan agensi penarafan antarabangsa itu dibuat dalam laporan bertajuk ‘Sovereigns – Asia Pacific and Americas: Revised Trans-Pacific Partnership benefits all members, but less so without the US’, yang disiarkan hari ini.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang disemak semula, selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri, meninggalkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, meraih manfaat menerusi perjanjian besar-besaran itu.

Moody’s berkata walaupun AS menarik diri, CPTPP tetap akan meningkatkan eksport dan pendapatan untuk semua anggota yang terlibat dan membantu mengekalkan pembaharuan yang berlaku di beberapa negara.

Berbanding TPP, peluang perdagangan yang ‘terlepas’ akan dirasakan paling banyak di Vietnam, Malaysia dan Jepun, memandangkan negara ini semakin mendapat manfaat daripada akses yang lebih besar ke pasaran Amerika Syarikat, berdasarkan skop perjanjian perdagangan semasa.

Mengenai isu pembaharuan, Moody’s berkata disebabkan halangan perdagangan dan bukan perdagangan yang lebih rendah mengikut CPTPP yang berdasarkan pembaharuan khusus negara, perjanjian itu akan membantu mengekalkan momentum pembaharuan dalam negara.

“Pembaharuan semasa yang berterusan akan meningkatkan daya saing dan pelaburan, dan memperkukuh kualiti institusi dari semasa ke semasa bagi negara anggota dan manfaatnya akan menjadi lebih besar bagi negara yang mendapat skor tadbir urus dan daya saing yang agak rendah, seperti Peru, Vietnam, Mexico dan Brunei,” katanya. – Bernama