Perjanjian CPTPP dijangka jana $1b

Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP) menerusi beberapa kajian yang dilaksanakan memberi petunjuk bahawa perjanjian itu boleh memberi manfaat dalam lingkungan $1 bilion kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Perjanjian yang dimeterai oleh Negara Brunei Darussalam bersama 10 buah negara lain pada 8 Mac lalu, di Santiago, Chile, akan dilaksanakan setelah enam buah negara ahli perjanjian berkenaan selesai membuat pengesahan ke atas perjanjian tersebut.

Penjelasan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad mengenai jangka masa (timeline) bagi melihat hasil atau memantau kemajuan perjanjian CPTPP semasa Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari keenam di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Sementara itu, beliau menerangkan bahawa seperti kenyataan menteri-menteri yang dibuat di Chile, setiap negara akan berusaha sedaya upaya mempercepatkan proses pengesahan mengikut undang-undang dan peraturan sistem negara masing-masing.

Bagi Negara Brunei Darussalam, dalam proses pengesahan, ia perlu mendapat persetujuan daripada semua kementerian dan untuk meneliti sekiranya perlu mengadakan dasar atau peraturan baru jika peraturan itu belum ada atau perubahan dalam dasar jika ia diperlukan.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bersama 10 pemimpin lain semasa mewakili Brunei menandatangani perjanjian CPTPP baru-baru ini di Santiago, Chile. – Gambar fail Xinhua

“Di samping itu juga, dari segi manfaat kepada negara, perlu dipertimbangkan secara keseluruhannya.”

Oleh itu, daripada segi jangka masa, beliau menerangkan, kebanyakan negara ahli perjanjian menyatakan bahawa kemungkinan besar pada hujung 2018, mereka boleh membuat pengesahan itu.

Walau bagaimanapun, terdapat negara yang juga menyatakan bahawa mereka mungkin dapat membuat pengesahan paling awal pada penghujung 2019 atau awal 2020.

Beliau menerangkan lanjut bahawa perjanjian itu, mula berkuat kuasa sesudah enam daripada ahlinya telah membuat pengesahan supaya dapat dilaksanakan oleh negara-negara yang telah membuat pengesahan.

Manakala ketika mengulas persoalan oleh Yang Berhormat Awang Iswandy mengenai program pertukaran, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan menyatakan bahawa program pertukaran itu bukan sahaja daripada segi program-program biasiswa yang diberikan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan tetapi juga meliputi program-program di bawah penyertaan negara dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk Komanwel dan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).

Beliau menjelaskan bahawa program-program kursus dan latihan berkenaan dapat dilakukan di luar atau di dalam negara pada setiap tahun.