Perjanjian dicapai bawa penghijrah Cuba ke AS

Perjanjian dicapai bawa penghijrah Cuba ke AS

BANDAR GUATEMALA, 29 Dis – Negeri-negeri Tengah Amerika bersetuju program rintis bermula yang membolehkan beribu-ribu penghijrah Cuba yang terkandas di Costa Rica meneruskan perjalanan terus ke AS bermula bulan depan, kerajaan-kerajaan di rantau itu berkata semalam.

Perjanjian itu yang dicapai antara para pegawai yang mengadakan pertemuan di Bandar Guatemala, akan menyediakan penerbangan bagi warga Cuba yang tidak dinyatakan bilangan mereka ke El Salvador, yang mana mereka kemudian akan dibawa menaiki bas menuju Mexico, menurut kenyataan Kementerian Luar Costa Rica.

Program itu dijangka bermula ketika minggu pertama dalam bulan Januari, menurut kerajaan Guatemala dan Mexico.

Pada awalnya kira-kira 250 penghijrah Cuba akan diterbangkan ke El Salvador, menurut Menteri Luar Guatemala Carlos Morales.

Kerajaan Costa Rica, yang menghentikan pengeluaran visa transit kepada rakyat Cuba awal bulan ini mengatakan, menyediakan perlindungan bagi penghijrah telah membataskan sumber tempatan dengan teruk.

“Penyelesaian yang muncul benar-benar pengecualian dan hanya bagi mereka yang telah memasuki wilayah negara secara sah,” kata menteri luar Costa Rica, Manuel Gonzalez.

Tidak segera diketahui bagaimana perjalanan penghijrah akan dibayar, namun para diplomat dijangka menyelesaikan butiran logistik dalam rundingan akan datang, menurut kerajaan Mexico.

Mexico berkata program rintis itu akan dikaji semula.

Sejak pertengahan November, bilangan penghijrah Cuba terkandas di awang-awangan dalam sempadan utara Costa Rica dengan Nicaragua, telah terus bertambah. Kira-kira 8,000 warga Cuba kini terkandas di sana.

Aliran penghijrah dari pulau yang diperintah Komunis itu telah meningkat ketika proses pengenduran ketegangan antara Washington dan Havana yang diumumkan Disember lalu, mencetuskan kebimbangan bahawa keutamaan hak suaka AS bagi warga Cuba mungkin kelak berakhir. – Reuters