Perjanjian hutang Greece diketahui hari ini

Perjanjian hutang Greece diketahui hari ini

BRUSSELS, 26 Jun (AFP) – Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Francois Hollande berkata pertemuan menteri-menteri kewangan zon euro pada Sabtu adalah pertemuan muktamad bagi pencarian perjanjian hutang bagi Greece.

“Kami mesti terus berusaha kerana masa semakin menekan dan kumpulan Euro pada Sabtu ini akan sangat mementingkan kemuktamadan,” Merkel memberitahu sidang media awal hari ini pada sidang mesyuarat pemimpin-pemimpin EU di Brussels.

“Kesemua pemimpin menyokong idea bahawa semuanya mesti dilakukan untuk mencari penyelesaian pada hari Sabtu.”

Rundingan antara para menteri kewangan kesatuan matawang yang terdiri dari 19 buah negara telah gagal sekali lagi semalam, gagal mengeluarkan persetujuan mengeluarkan dana jaminan bagi Greece yang boleh diluluskan oleh para pemimpin di sidang mesyuarat itu.

Mereka telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan pertemuan lagi pada hari Sabtu selepas rundingan seterusnya antara Greece yang kekurangan wang yang diperlukan dan para pemiutangnya.

Hollande berkata perjanjian diperlukan sebelum Greece terpaksa membayar hutang besar IMF pada akhir bulan ini.

“Saya menganggap rundingan pada Sabtu adalah penting kerana masa tamat pada 30 Jun, apabila Greece mesti memenuhi obligasi pembayarannya dan parlimen kebangsaan yang perlu bersidang,” kata Hollande lagi.

“Kami mesti melakukan segala yang kami mampu dan Perancis akan berusaha supaya kami memperoleh perjanjian bertahan lama dan universal.”

Presiden EU Donald Tusk menolak kemungkinan sidang khas para pemimpin zon euro seperti rundingan yang digesa oleh beliau pada Isnin lalu dalam usaha sia-sia untuk menyelesaikan krisis.

Para pemimpin EU telah mengadakan rundingan tidak berjadual selama dua jam berhubung Greece pada sidang mesyuarat mereka semalam.

“Satu lagi rundingan Euro tidak diramalkan. Para pemimpin menjangka kumpulan Euro untuk memuktamadkan proses ini pada rundingan mereka pada Sabtu,” katanya di Twitter.