Perjanjian nuklear Iran dipuji global

Perjanjian nuklear Iran dipuji global

LONDON, 16 Julai – Para pemimpin dunia memuji perjanjian nuklear Iran yang dicapai kelmarin dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melihat satu ‘arah baharu’ dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyuarakan ‘rasa lega’ tetapi Israel tetap mengkritiknya sebagai satu ‘kesilapan besar’.

Kuasa-kuasa besar dunia yang berhempas-pulas menyediakan perjanjian dengan Tehran itu menyatakan, mereka berharap Iran akan menggunakan peluang itu untuk keluar daripada pemulauan dunia.

Walaupun Parti Republikan di AS memberi amaran perjanjian itu akan menyebabkan Iran ‘semakin berani’, Obama berpendapat perjanjian itu membuka peluang untuk merapatkan kembali hubungan yang renggang dengan Iran.

“Setiap jalan ke arah senjata nuklear telah disekat. Perjanjian ini memberi peluang untuk bergerak ke arah baharu, kita harus merebutnya,” kata Obama.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggelar perjanjian itu ‘kesilapan besar’ melibatkan ‘beberapa kompromi besar’ dan memberi amaran rejim Zionis masih mempertimbangkan serangan bersendirian ke atas tapak-tapak nuklear Iran.

Barack Obama ketika dalam satu sidang media menyuarakan pendapatnya mengenai perjanjian nuklear Iran. – Reuters
Barack Obama ketika dalam satu sidang media menyuarakan pendapatnya mengenai perjanjian nuklear Iran. – Reuters

“Kami telah menyatakan komitmen untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear dan komitmen ini masih kekal.

Mengurangkan sekatan ke atas Iran akan ‘menyemarakkan lagi jentera keganasan mereka’.

“Israel tidak terikat dengan perjanjian itu kerana Tehran berterusan cuba memusnahkan kami,” ujarnya.

Namun, Obama memberi jaminan kepada Netanyahu bahawa perjanjian tersebut tidak mengurangkan ‘kebimbangan AS berhubung sokongan Iran kepada keganasan dan ancaman ke atas Israel’, jelas sumber di Rumah Putih.

Perjanjian itu ditandatangani di Vienna kelmarin antara Tehran, AS, Rusia, China, Britain, Perancis dan Jerman selepas kebuntuan selama 13 tahun.

Berdasarkan perjanjian tersebut, sekatan ekonomi ke atas Tehran akan dimansuhkan sebagai balasan kepada Iran untuk melupakan teknologi bom nuklear. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA