Perjanjian Pan Borneo Sarawak dimeterai

Perjanjian Pan Borneo Sarawak dimeterai

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer (km) di Sarawak melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuh raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU).

LBU dilantik sebagai “Project Delivery Partner” (PDP) untuk mengurus dan menyelia pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo yang melibatkan jajaran 1,090 km.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LBU Tan Sri Abang Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen.Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketika ditemui wartawan selepas majlis itu, Fadillah berkata melalui perjanjian yang ditandatangani hari ini, pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuh raya Pan Borneo Sarawak melibatkan jajaran sepanjang 773 kilometer dijangka dimulakan pada September ini.

Beliau berkata berdasarkan perancangan, pembinaan Fasa 1 itu akan dimulakan dengan pakej Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 kilometer dan melibatkan pembinaan jajaran baharu satu lorong dua hala untuk menghubungkan pekan kecil dan beberapa perkampungan di kawasan Telok Melano yang kini hanya dihubungkan melalui jalan laut.

Datuk Seri Najib menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian pembinaan Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani (kiri), Pengerusi Lebuh raya Borneo Utara Sdn Bhd, Tan Sri Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob (kanan) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr Adenan Satem (dua, kiri). – Bernama
Datuk Seri Najib menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian pembinaan Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani (kiri), Pengerusi Lebuh raya Borneo Utara Sdn Bhd, Tan Sri Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob (kanan) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr Adenan Satem (dua, kiri). – Bernama

“Kos pembinaan Lebuh raya Pan Borneo Sarawak sejauh 1,090km akan dimuktamadkan selepas kajian akhir dan reka bentuk siap sepenuhnya. Lebuh raya ini tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama untuk menghubungi seluruh Sarawak. Tol akan dikenakan sekiranya terdapat jalan alternatif,” kata katanya sambil menambah pelantikan kontraktor akan dibuat melalui proses tender

Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan jajaran 1,090km merupakan sebahagian daripada Lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak. Kos keseluruhan pembinaan Lebuh raya Pan Borneo RM27 bilion dan dijangka siap pada tahun 2020.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya berkata kerajaan telah memutuskan supaya pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak itu dilaksanakan menerusi kaedah Projek Delivery Partner (PDP) iaitu pembiayaan projek ini akan dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan melalui Dana Infra.

Sementara itu, Adenan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan berikutanpemeteraian perjanjian pada hari ini dan yakin ia akan mempergiatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan di negeri itu.

“Akhirnya, apa yang kami tunggu-tunggu selama beberapa tahun ini bakalmenjadi kenyataan. Kami amat berterima kasih. Walaupun akan mengambil masa beberapa tahun (untuk siap) tetapi ini permulaan yang baik,” katanya.