Perjanjian seimbang ‘penuhi kepentingan semua’

Perjanjian seimbang ‘penuhi kepentingan semua’

PARIS, 2 Julai (AFP) – Rancangan China dan Perancis untuk bergabung dalam projek di Afrika dan Asia merupakan satu perjanjian seimbang yang akan “memenuhi kepentingan semua,” menurut Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Dalam beberapa tahun ini, China telah menyingkirkan negara Barat daripada ekonomi membangun, terutamanya di Afrika, tetapi nampaknya telah berubah dasar dengan perjanjian yang ditandatangani pada Selasa dan dicap sebagai “bersejarah” oleh Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls.

Perjanjian itu, yang ditandatangani ketika lawatan tiga hari oleh Li ke Perancis, akan menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama mengenai prasarana dan projek tenaga dan memperkenalkan “bentuk kontrak bersama, pengeluaran bersama dan pembiayaan bersama yang baru.”

“Marilah kita bekerjasama untuk membantu mempertingkat prasarana, perindustrian, pembasmian kemiskinan. Melakukannya akan memenuhi kepentingan kami semua,” kata Li dalam satu ucapan di ibu pejabat Persatuan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di Paris.

Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls (kanan) dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang, berselfie sempena lawatan tiga hari pemimpin Chgian itu ke Perancis, di Toulouse, pada 2 julai 2015. – AFP
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls (kanan) dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang, berselfie sempena lawatan tiga hari pemimpin Chgian itu ke Perancis, di Toulouse, pada 2 julai 2015. – AFP

“Ia akan membantu negara membangun beralih beransur-ansur ke arah kemakmuran, ia akan membantu China mencari satu pasaran untuk kapasiti pengeluaran dan juga memaksa China mempertingkat industrinya sendiri di dalam negara.

“China juga boleh mempelajari dari negara maju dalam proses ini dan menjadikan dirinya lebih berjaya dalam mengurangkan penggunaan tenaga.”

China, yang mempunyai terlalu banyak kilang dan bergelut dengan kemelesetan dalam permintaan domestik, sedang mendesak syarikatnya supaya berusaha mencari pasaran baru di luar negara.