Perjumpaan ahli PK Kampung Puni

Perjumpaan ahli PK Kampung Puni

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Daerah Polis Temburong melalui Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Bangar, malam tadi telah mengadakan perjumpaan dan taklimat bagi ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Puni.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Penyelia Dektektif Daerah Polis Temburong, Insp Pengiran Muhammad Adib bin Pengiran Kamarudin yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan selaku wakil pegawai penguasa Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong.

Hadir pada perjumpaan berkenaan ialah Penghulu Mukim Bangar, selaku Penasihat PK, Awang Abdul Rahman bin Merusin, Ketua Kampung Belingus dan Pemangku Ketua Kampung Puni merangkap Pengerusi PK Puni, Haji Sulaiman bin Haji Ahad serta timbalan dan setiausaha PK Puni.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Batang Tuau, selaku Pengerusi PK Batang Tuau/ Seri Tanjong Belayang, Haji Jainih @ Zaini bin Haji Tahir.

Gambar ramai di akhir perjumpaan ahli PK Kampung Puni, kelmarin.
Gambar ramai di akhir perjumpaan ahli PK Kampung Puni, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perjumpaan tersebut mengongsikan mengenai visi dan misi PK, penubuhannya, peranan ahli jawatankuasa dan ahli-ahli PK serta undang-undang Negara Brunei Darussalam.

Dalam masa yang sama, Insp Pengiran Muhammad Adib juga menekankan kepentingan bagi ahli PK untuk mengongsikan maklumat berkaitan dengan kejadian jenayah bersama pihak polis. Ini adalah antara langkah kewaspadaan untuk menjaga kestabilan masyarakat dan ketenteraman awam.

Dalam kesempatan itu, Insp Pengiran Muhammad Adib juga mengingatkan ahli-ahli PK mengenai fenomena permainan telefon pintar iaitu Pokemon Go dan menegaskan bahawa sesiapa yang bermain permainan tersebut agar tidak mencerobohi mana-mana kawasan larangan.