Perjumpaan keluarga Okt ini

Perjumpaan keluarga Okt ini

SEOUL, 8 Sept – Korea Utara dan Selatan bersetuju, hari ini, untuk mengadakan majlis perjumpaan pada Oktober untuk keluarga yang berpisah oleh Perang Korea, ekoran rundingan sepanjang malam di antara cawangan Palang Merah masing-masing.

Pertemuan semula itu, hanya yang kedua diadakan dalam lima tahun – akan diadakan di antara 20-26 Oktober di tempat peranginan Gunung Kumgang di Korea Utara, kata Kementerian Penyatuan Selatan.

Seoul difahamkan telah mendesak tarikh lebih awal – sebelum Korea Utara merai ulang tahun ke-70 penubuhan Parti Pekerjanya pada 10 Oktober.

Pyongyang merancang satu perarakan tentera besar-besaran dan timbulnya spekulasi ia juga mungkin melancarkan roket jarak jauh – satu tindakan yang akan mencetuskan sekatan PBB baru dan mengancam penganjuran majlis perjumpaan berkenaan.

Rundingan Palang Merah bermula pada pagi semalam di kampung gencatan senjata sempadan Panmunjom dan, menurut Kementerian Penyatuan Selatan, berlangsung sepanjang malam dengan rehat sekali-sekala.

Seorang wanita yang mendakwa mempunyai anggota keluarga tinggal di Korea Utara mendapat bantuan untuk menyiapkan dokumen bagi pertemuan semula keluarga di bangunan Palang Merah di Seoul, Korea Selatan.  – Reuters
Seorang wanita yang mendakwa mempunyai anggota keluarga tinggal di Korea Utara mendapat bantuan untuk menyiapkan dokumen bagi pertemuan semula keluarga di bangunan Palang Merah di Seoul, Korea Selatan. – Reuters

Ketua wakil Korea Selatan, Lee Duk-Haeng, mengesahkan pasukannya telah meminta pertemuan tersebut diadakan “pada tarikh paling awal mungkin,” namun pihak Utara membantah, memetik persiapan untuk sambutan pada 10 Oktober.

Menurut perjanjian, 100 orang akan dipilih oleh setiap pihak untuk mengambil bahagian dalam acara selama seminggu itu.

Usaha untuk menganjur satu majlis perjumpaan merupakan hasil satu perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua Korea dua minggu lalu untuk menamatkan perbalahan tentera dan mengurangkan ketegangan antara sempadan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA