Perjumpaan PPNBD teliti perancangan tahunan

Perjumpaan PPNBD teliti perancangan tahunan

OIeh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Perancangan yang teliti dalam menyusun kepelbagaian kegiatan menarik adalah amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi.

Dalam hubungan itu, bagi merealisasikan perancangan kegiatan 2016, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas telah mengadakan perjumpaan khas antara para pemimpin dan penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas dari seluruh negara dengan ketua pesuruhjaya pengakap yang berlangsung di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong, hari ini.

Semasa perjumpaan khas itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin dan penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas yang sentiasa komited dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh ibu bapa pelajar dalam mendidik anak-anak mereka dalam pendidikan di luar bilik darjah.

Pertemuan yang lazim dijalankan pada setiap awal tahun itu dihasratkan untuk memberi penerangan tentang perancangan tahunan kegiatan serta latihan bersepadu bagi ahli-ahli Pengakap Tunas sepanjang 2016 serta turut berkaitan dengan pendaftaran keahlian bagi ahli-ahli baru.

Hajah Noraini ketika memberikan penerangan.
Hajah Noraini ketika memberikan penerangan.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi, Pesuruhjaya Latihan, Awang Junaidi bin Haji Hussin, Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei-Muara Zon 1, Awang Mohammad Shahruni bin Haji Sarbini, Ketua Kegiatan Jambori, Haji Abdul Rajak bin Sigai dan beberapa orang pesuruhjaya pengakap.

Perjumpaan itu juga disertai oleh lebih 60 orang pemimpin dan penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas serta ahli Pengakap Kelana.

Dalam perjumpaan berkenaan, Hajah Noraini yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, turut menyampaikan penerangan mengenai kegiatan yang bakal diadakan oleh PPNBD.

Beliau menerangkan bahawa Bahagian Pengakap Tunas telah ditubuhkan oleh Leftenan Jeneral Robert Stephenson Smyth Baden-Powell atau Lord Baden Powell of Gilwell atau lebih dikenali dengan nama panggilan BP, pengasas pergerakan pengakap pada tahun 1916 di England selepas sembilan tahun pergerakan pengakap itu mula ditubuhkan pada 1 Ogos 1907.

Oleh itu, bertepatan dengan sambutan 100 tahun penubuhan pergerakan Pengakap Tunas Sedunia pada 2016, PPNBD tidak ketinggalan meraikan ulang tahun yang penuh bermakna itu dengan mengadakan Jambori Pengakap Tunas Brunei Darussalam kali ke-4, Sempena sambutan 100 tahun Pengakap Tunas Sedunia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan pada 18 hingga 23 Mac nanti di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Jalan Gadong.

Jambori itu nanti akan disertai oleh ahli-ahli Pengakap Tunas yang terdiri daripada pelajar di sekolah rendah bermula dari Tahun 3 hingga 6.

Hajah Noraini yang juga sebagai Ketua Perkhemahan jambori berkenaan turut menjelaskan bahawa jambori itu bakal menyaksikan penyertaan seramai 500 orang ahli Pengakap Tunas dari dalam negara dan beberapa buah negara dari rantau ASEAN.

Jambori berkenaan membawa tema ‘Bermula Daripada Kami’ yang membawa maksud untuk menjadi seorang ahli pengakap seterusnya ke peringkat pemimpin yang berkaliber haruslah bermula dari zaman seorang ahli Pengakap Tunas yang menjalani latihan berterusan dengan penuh keriangan dan menyeronokkan.

Ia secara langsung dapat memberi kefahaman yang lebih tentang pergerakan pengakap sehingga ia meningkat dewasa.

Jambori yang bakal diadakan itu bermatlamat untuk membina dan mengasah jati diri serta membina sifat-sifat kepimpinan daripada peringkat akar umbi.

Sebanyak lapan kategori utama kegiatan jambori telah disusun iaitu mengikut tema kegiatan seperti Kemahiran Pengakap, Seni Kreatif, Seni mempertahankan diri, Tarian Tradisional Brunei, Radio Amatur, permainan tradisional, Lembah cabaran dan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat menarik di Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA