Perkakas dapur dulu dan kini

Perkakas dapur dulu dan kini

ULASAN BUKU OLEH RAZALI SALAM

 

SEMENJAK dari zaman prasejarah lagi, manusia telah menggunakan pisau-pisau tajam, api dan batu penggiling untuk mengubah bahan-bahan mentah menjadi sesuatu yang sedap ataupun sekurang-kurangnya boleh dimakan.

Perkakas-perkakas telah membentuk apa yang kita makan, ia juga telah menggubah cara kita memakan dan berfikir mengenai makanan kita sehari-hari.

Teknologi di dalam dapur tidak hanya terhad kepada mesin-mesin canggih yang boleh di dapati di dapur-dapur moden sekarang.

Bahkan ia boleh merupakan perkakas-perkakas harian yang digunakan untuk memasak dan makan dalam kehidupan seharian kita seperti sudu kayu, kuali, chopstik dan garpu.

Di dalam buku Consider the Fork, penulis makanan yang telah memenangi pelbagai anugerah, Bee Wilson, menyajikan pembaca dengan pelbagai informasi menarik mengenai evolusi masakan di seluruh dunia, di samping mendedahkan kepada pembaca mengenai sejarah objek seharian di dapur yang langsung tidak pernah kita ketahui sebelum ini.

Pisau contohnya, adalah merupakan perkakas gastronomi yang paling penting, yang telah wujud sebelum penemuan api, manakala garpu pula telah dipandang remeh dan hina selama ratusan tahun sebelum diterima pakai untuk kegunaan ramai, kuali dan belanga pula telah wujud selama berkurun lamanya sedangkan pinggan pula adalah merupakan ciptaan terbaru.

Banyak di antara teknologi-teknologi baru suatu masa dahulu, kini telah menjadi elemen yang penting di dalam mana-mana dapur yang mempunyai perkakasan yang lengkap seperti lesung, pisau yang bergerigi, kuali daripada besi tahan karat dan peti sejuk.

Sementara, ada di antaranya pula telah dilupakan atau digantikan dengan teknologi yang lebih baik. Siapakah yang akan menyangka terdapatnya mesin pemukul telur yang beroperasi menggunakan kuasa air, tempat pembakaran yang beroperasi menggunakan magnet dan lain-lain lagi teknologi aneh yang datang dan pergi.

Meskipun banyak perkakas-perkakas dapur yang tidak lagi ditemui di dalam dapur moden, ia telah meninggalkan tradisi, rasa dan ciri-ciri fizikal yang tidak mungkin akan kita miliki tanpanya.

Menggabungkan sejarah, sains dan antropologi, Bee Wilson mendedahkan kepada pembaca bagaimana perkakas kulinari kita tercipta, dan bagaimana ia membantu dalam membentuk budaya kulinari moden pada masa ini.

Cerita tentang bagaimana kita menguasai api dan ais, serta memegang senduk, pemukul dan penghiris semuanya demi menyediakan makanan di atas meja makan.

Buku Consider the Fork adalah sebuah buku yang sangat sesuai bagi peminat kulinari.