Perkasa kemahiran menyelamat dalam bandar

Perkasa kemahiran menyelamat dalam bandar

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Untuk melatih dan meningkatkan kemahiran serta memberi gambaran jelas tatacara pengurusan operasi Mencari dan Menyelamat dalam Bandar (USAR) yang mantap dan berkesan, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengendalikan Kursus Teknik Asas USAR yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini hingga 29 Oktober.

Hadir merasmikan kursus berkenaan ialah Penolong Pengarah Operasi, Awang Shabandi bin Haji Abdul Halim selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Mes Pegawai Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas, di sini.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada anggota cawangan-cawangan operasi seluruh negara, bahagian-bahagian dan unit di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat, menyertai kursus berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba Guna tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kursus berkenaan dikendalikan oleh pakar jemputan iaitu Penasihat Serantau dalam Perlindungan Awam bagi ASEAN, yang juga Pakar dan Pelatih dalam Operasi Mencari dan Menyelamat dari Singapura, Kolonel Bruneo Uliac serta dua orang pegawai pakar USAR dari Perancis.

Sesi bergambar ramai anggota-anggota bomba yang mengikuti kursus tersebut.
Sesi bergambar ramai anggota-anggota bomba yang mengikuti kursus tersebut.

Objektif kursus ini adalah untuk memberi latihan dan pendedahan kepada pakar-pakar Unit Mencari dan Menyelamat sedia ada dan bakal-bakal pakar mengenai tatacara yang sesuai kepada keperluan operasi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melalui perkembangan dalam pelbagai aspek untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat selaras dengan visi jabatan iaitu ‘Bekerjasama Dengan Masyarakat Bagi Melindungi Apa Yang Mereka Hargai’.

Peranan jabatan juga semakin mencabar dan sentiasa giat memantapkan keupayaannya bagi memenuhi kehendak misi jabatan iaitu mengurangkan kadar kejadian akibat kebakaran dan bertindak secara profesional bagi menangani apa jua panggilan kecemasan selaras dengan perkembangan dan kehendak semasa demi memberi sumbangan dan perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara sejajar dengan matlamat strategik jabatan 2025.

ARTIKEL YANG SAMA