Perkasa masyarakat celik kewangan

Perkasa masyarakat celik kewangan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda tahap pengetahuan dan tabiat serta perilaku kewangan orang ramai perlu dipertingkatkan dan diperbaiki ke arah memperkasakan masyarakat yang celik kewangan.

Hasil kajian mengenai Celik Kewangan Kebangsaan yang dijalankan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Pusat Pengajian Strategik dan Polisi yang membabitkan 1,521 isi rumah merumuskan bahawa sebilangan penduduk negara ini mempunyai kefahaman, tabiat dan perilaku kewangan yang sederhana.

“Secara spesifik, dari sejumlah isi rumah tersebut, 34 peratus tidak mempunyai perancangan bagi perbelanjaan isi rumah; 49 peratus tidak membuat simpanan secara aktif; dan 24 peratus memerlukan pinjaman untuk membiayai keperluan seharian.

“Manakala, 32 peratus daripada isi rumah tersebut tidak mengetahui kadar faedah yang dikenakan ke atas tunggakan kad kredit masing-masing,” sabda Duli Yang Teramat Mulia di Majlis Pembukaan Rasmi Hari Autoriti Monetari Brunei Darussalam 2015 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia, jelas sekali statistik berkenaan menggambarkan bahawa tahap pengetahuan serta tabiat dan perilaku kewangan orang ramai perlu dipertingkatkan dan diperbaiki ke arah memperkasakan masyarakat yang celik kewangan.

DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan merasmikan pameran sempena Hari AMBD 2015 yang berlangsung di Dewan Planery, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan merasmikan pameran sempena Hari AMBD 2015 yang berlangsung di Dewan Planery, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

“Setentunya juga hasrat ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak yang berkepentingan khususnya agensi Kerajaan yang berkenaan, institusi kewangan, dan termasuk AMBD.”

Duli Yang Teramat Mulia bersabda, akses dan celik kewangan merupakan agenda global yang semakin mendapat perhatian pada masa ini dan ia dikenal pasti sebagai mekanisme yang berkesan untuk menangani isu kemiskinan dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Di samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa sebuah masyarakat yang financially inclusive turut berperanan membantu mengurangkan kebergantungan kepada pihak kerajaan, khasnya dalam menjana peluang pekerjaan, meningkatkan tahap pendidikan, tahap penembusan insurans, kualiti kehidupan serta simpanan dan pemilikan aset. Semua ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia, akan seterusnya menyumbang kepada kedayatahanan kewangan orang ramai.

“Justeru tema Hari AMBD iaitu ‘Facilitating Your Financial Future’ adalah sangat relevan dan bertepatan. Ini mengambil kira kepelbagaian produk dan perkidmatan kewangan yang semakin inovatif masa kini dan juga pentingnya orang ramai untuk mendapat akses kewangan serta memiliki pengetahuan asas mengenai pengurusan kewangan.

Duli Yang Teramat Mulia turut melahirkan rasa amat bimbang bilamana mengetahui sebilangan besar orang awam tidak mempersiapkan simpanan yang mencukupi di samping akses kepada kemudahan pembiayaan.

“Tidak hairan, apabila terdesak, sesetengahnya membuat pilihan yang tidak bijak dengan mendapatkan sumber kewangan daripada pihak yang tidak berlesen. Terdapat juga sebilangan lainnya yang mudah terpengaruh dengan skim pelaburan cepat kaya.”

Duli Pengiran Muda Mahkota bersabda perilaku sedemikian amatlah berbahaya dan ia berupaya menjerumuskan seseorang kepada bebanan hutang yang berlebihan, atau sebaliknya menanggung risiko kerugian serta terlepas daripada perlindungan undang-undang berkaitan.

“Justeru, saya ingin menekankan tentang peri mustahaknya pengetahuan serta amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemat bagi memenuhi keperluan diri dan masa depan keluarga.

“Ia termasuklah mengatur perancangan ke hadapan bagi memiliki rumah kediaman sendiri serta persediaan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak. Ini juga merangkumi keperluan untuk menyediakan perbelanjaan harian termasuk budaya menabung bagi menampung berbagai-bagai keperluan sepanjang hayat. Amalan terbaik ini perlulah dipupuk bermula dari seawal peringkat kanak-kanak secara berdisiplin.”

Penubuhan Tabung Amanah Pekerja dan pengenalan Skim Pencen Caruman Tambahan adalah sebahagian usaha kerajaan bagi memberikan perlindungan sosial serta membantu warga pekerja di sektor awam dan swasta untuk membuat simpanan persaraan sebagai pelengkap kepada simpanan persendirian.

Ke arah itu, sabda Duli Pengiran Muda Mahkota, AMBD akan terus bekerjasama dengan TAP untuk meneruskan usaha dan inisiatif bagi memastikan kesejahteraan serta kebajikan masa depan orang ramai sentiasa dilindungi dan dipelihara.

Di peringkat individu dan keluarga, Duli Yang Teramat Mulia bersabda pengetahuan celik kewangan juga perlu dilaratkan kepada golongan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana. “Ini kerana, secara amnya, mereka juga menghadapi cabaran dalam mendapatkan akses kemudahan kewangan, termasuklah pembiayaan mikro-kredit PKS. Perkara ini, antara lainnya berpunca daripada kelemahan dalam kemahiran pengurusan kewangan serta kepincangan dalam penyediaan penyata kewangan yang berkesan.

“Lazimnya, sebahagian PKS berkenaan telah memilih untuk menggunakan produk pembiayaan yang tidak bersesuaian dan lebih membimbangkan lagi bilamana mereka mendapatkan sumber kewangan atau pembiayaan daripada pihak yang tidak berlesen.”

Sehubungan itu, Duli Pengiran Yang Teramat Mulia bersabda AMBD adalah turut berperanan untuk secara berterusan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan melebarkan akses kepada produk kewangan dan pelaburan untuk setiap peringkat masyarakat serta pelanggan.”

Duli Pengiran Muda Mahkota pada mengakhiri sabda: “Pada mengambil sukut majlis ini serta kepentingan untuk menyemai dan menerapkan budaya menabung di kalangan seluruh masyarakat di negara ini, Saya dengan amat sukacita mengisytiharkan 28 Mei 2015 sebagai ‘Hari Menabung Kebangsaan’ yang pertama.”