Perkataan ‘bom’ di KLIA boleh buat anda dipenjara

Perkataan ‘bom’ di KLIA boleh buat anda dipenjara

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Seramai 15 orang ditahan sejak tahun lalu kerana menyebut perkataan ‘bom’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan KLIA2, walaupun mereka bergurau, kata seorang pegawai kanan polis Malaysia hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, ramai daripada mereka ditangkap menyebut perkataan ‘bom’ secara berseloroh di kaunter daftar masuk bagasi dan di kawasan lapangan terbang.

“Daripada 15 individu yang ditahan itu hanya dua warga asing, selebihnya adalah warganegara Malaysia. Kebanyakan mereka ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad ketika berada di bahagian pemeriksaan bagasi, manakala seorang warga asing ditahan di dalam pesawat sebelum penerbangan berlepas.

“Orang ramai perlu tahu bahawa ini bukan sesuatu yang anda boleh bergurau kerana ia boleh membawa kesan serius,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Beliau berkata, 15 orang dikenakan tuduhan ugutan jenayah di bawah Kod 92 Pelan Kecemasan Lapangan Terbang, yang mengkategorikan pengucapan perkataan ‘bom’ sebagai satu ancaman dan satu kesalahan serius.

Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Jumlah kes semakin meningkat dan trend ini membimbangkan,” kata ACP Abdul Aziz. “Kami mencatatkan tujuh kes tahun lepas. Tahun ini hingga Selasa, kami mempunyai lapan kes yang dilaporkan.”

Malaysia telah meningkatkan lang-kah keselamatan di hab pengangkutan sejak pengganasan meningkat dan pengeboman di Jakarta Januari lalu dan serangan Brussels pada Mac.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings, berkata ia telah mengetatkan kawalan ke atas pengeluaran pas keselamatan lapangan terbang dan meningkatkan kekerapan rondaan keselamatan dan pemeriksaan lain.

Pemerintah Australia pada Februari mengeluarkan nasihat perjalanan, memberi rakyatnya amaran bahawa serangan pengganas boleh berlaku di Kuala Lumpur.

ARTIKEL YANG SAMA