Perkaya ilmu & pengalaman di S’pura

Perkaya ilmu & pengalaman di S’pura

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Seramai 29 orang pelajar dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong dan Sekolah Rendah Dato Othman (SRDO), hari ini, berlepas ke Singapura bagi menghadiri program berkembar kitaran ketiga yang bermula pada 2 Ogos hingga 7 Ogos 2015.

Guru Besar SRDO, Hajah Hafizah binti Haji Salat selaku ketua rombongan ketika ditemui di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa menjelaskan, ini merupakan kali kedua bagi SRDO menyertai program berkenaan di mana ia memberi banyak pengetahuan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada guru-guru yang dihantar menyertai program ini.

Menurutnya, kali ini murid sekolah itu berpeluang mengalami suasana pembelajaran di Sekolah Perempuan Haig (Haig Girls’ School), yang sebelum ini pernah membuat program berkembar di SRDO.

“Program berkembar ini merupakan pertukaran pelajar dan guru yang antara lain bertujuan untuk membawa pelajar dan guru untuk melihat lebih dekat lagi sistem pembelajaran dan pengajaran yang dibuat di Singapura.

“Dalam sistem pendidikan masa ini, kita tidak boleh berharap apa yang ada di dalam bilik darjah saja, kerana kita perlu melihat sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara luar,” jelasnya.

Rombongan SRDO bergambar ramai sebelum berlepas ke Singapura.
Rombongan SRDO bergambar ramai sebelum berlepas ke Singapura.
Gambar ramai rombongan PTET.
Gambar ramai rombongan PTET.

Sepanjang program tersebut, pelajar berpeluang mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah di samping membuat perbincangan, pertukaran fikiran dan sumber selain mengadakan lawatan ke tempat tertentu yang mana lawatan tersebut sesuai dengan tema sekolah “Maths In Everyday Science”.

“Pada sesi kedua ini, 14 pelajar Tahun 4, 5 dan 6 dengan diiringi oleh tiga orang guru SRDO diberikan peluang untuk menyertai program berkembar di Singapura,” tambahnya.

Beliau menyatakan harapan agar program ini akan diteruskan, kerana ia dapat memberikan pengalaman pembelajaran kepada pelajar, melihat sesuatu yang mungkin dapat diguna pakai di negara ini dan dari program ini mereka dapat memperbaiki bukan sahaja dari segi akademik tapi juga pembangunan diri mereka.

Salah seorang pelajar Tahun 6 SRDO yang menyertai program itu, Dayang Rossyazwana binti Mohd Ezam, 15, melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana berpeluang mengikuti program berkembar bagi sesi kedua sekolah berkenaan tahun ini.

“Peluang dan kepercayaan yang diberikan ini akan di gunakan sebaik mungkin untuk menambah ilmu pengetahuan dan dikongsi bersama rakan-rakan yang lain apabila balik nanti,” ujarnya.

Manakala itu, PTE Tutong menghantar seramai 15 orang pelajar Enam Bawah dengan tiga guru pengiring yang diketuai oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Awang Almasri bin Haji Sulaiman.

PTET yang julung kalinya menyertai dalam program ini akan mengikuti program berkembar di Tampines Junior College, Singapura di mana mereka akan berpeluang menjalin persahabatan jangka panjang dengan rakan-rakan di Singapura.

Antara objektif program ini bagi PTET adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang baru di samping mendapat gambaran gaya pembelajaran di Singapura.

Sementara pelajar dengan aktiviti mereka, pegawai pendidikan PTET juga berpeluang berkongsi menjalankan pentadbiran sekolah selain aspek pentadbiran dan akademik serta gaya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa bagi mengucapkan selamat belayar, pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan ahli keluarga pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA