PERKEBAR anjur Lumba Perahu Tradisional

PERKEBAR anjur Lumba Perahu Tradisional

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKEBAR) akan menganjurkan Kejohanan Lumba Perahu Tradisional Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-22 2015.

Ia akan berlangsung pada 11 Oktober bermula jam 8 pagi di Kompleks Air Serasa. Menurut kenyataan PERKEBAR, tarikh akhir bagi menghantar borang pendaftaran ialah pada 27 September ini.

Sebanyak 13 kategori akan dipertandingkan membabitkan sebanyak tujuh kategori terbuka, tiga kategori jemputan syarikat swasta, dua kategori antara kementerian dan satu kategori remaja (B22) termasuk juga acara perlumbaan kemuncak iaitu Kategori Maraton Terbuka.

Sebanyak lima piala pusingan disediakan dalam kejohanan tersebut. Piala pusingan tersebut diberi nama “Piala Seri Utama” yang disumbangkan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar. Setiap tahun kejohanan ini dianjurkan, tidak ketinggalan akan turut disertai oleh pasukan-pasukan dari negeri jiran seperti kota Kinabalu Sabah, Awat-awat dan Sundar Sarawak.

Sehubungan itu PERKEBAR menjemput para pengurus pasukan yang akan mengambil bahagian di kejohanan tersebut untuk menghadiri mesyuarat pengurus pasukan pada 4 Oktober 2015 bermula jam 9 pagi di Kompleks Sukan Air Serasa.

ARTIKEL YANG SAMA