Perkembang teknologi dalam industri petroleum

Perkembang teknologi dalam industri petroleum

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Dalam memberikan pendedahan mengenai penyesuaian penggunaan teknik terkini dalam Industri Petroleum, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menganjurkan ceramah umum mengenai ‘Spatial Analysis and Estimation of Petrophysical Properties’ yang diadakan di Dewan Kuliah 2, UTB, baru-baru ini.

Ceramah telah disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Queensland, Australia, Profesor Steve Tyson, yang juga merupakan Pengarah Pusat Pengkomputeran Geosains di Pusat Pengajian Sains Bumi universiti berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, beliau dalam ceramahnya antara lain membincangkan mengenai algoritma geostatistik sedia ada berdasarkan matriks kriging yang dilihat merendahkan kesalinghubungan nilai-nilai ekstrem kerana menggunakan model yang bergantung pada ruang linear.

Malah, penganggaran ketidakpastian berdasarkan teknik-teknik ini menggunakan varian kriging, yang tidak bergantung pada nilai-nilai variabel yang tersebar ruang. Anggaran ketidakpastian ini kerap tidak dapat dipercayai.

Beliau juga menjelaskan sebab kenapa kebanyakan variabel ruang dalam geosains tidak mempunyai kebergantungan ruang linear, walaupun selepas transformasi monotonik dan impaknya dalam penganggaran sifat petrofizikal.

Profesor Steve Tyson ketika menyampaikan ceramahnya.
Profesor Steve Tyson ketika menyampaikan ceramahnya.

Teknik-teknik paling terkini seperti statistik berbilang titik dan geostatistik tidak linear telah dibangunkan untuk mengatasi pembatasan-pembatasan ini dan setiap teknik ini mempunyai kebaikan dan keburukan, yang turut dibincangkan dalam ceramah berkenaan.

Ceramah berkenaan memberikan peluang untuk mempertimbangkan konsep-konsep baru dalam pemikiran geostatistik dan menentukan penggunaannya kepada industri petroleum.

Menurut kenyataan itu, Profesor Steve Tyson mempunyai lebih 30 tahun pengalaman industri sebelum berpindah ke bidang akademik pada 2013.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan subpermukaan, dan sepanjang tempoh itu, beliau telah membangunkan beberapa algoritma untuk memperbaiki kualiti model dan menyatakan kuantiti model ketidakpastian.

Beliau juga telah menyelia projek-projek penyelidikan bernilai lebih daripada $3.5 juta dalam bidang geosains meliputi geofizik, geostatistik, geologi, model ketidakpastian dan analisis data.

ARTIKEL YANG SAMA