Perkenal Modul HSE kepada tenaga pengajar

Perkenal Modul HSE kepada tenaga pengajar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Okt – Seramai 20 tenaga pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah diperkenalkan kepada latihan mengajar Modul Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE) dalam bengkel yang diadakan di Kampus IBTE, Maktab Teknikal Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), Kuala Belait, hari ini.

Modul ini adalah untuk keperluan kursus-kursus yang bukan di bawah Rangka Kerja Kompetensi Dalam Industri Tenaga (EICF).

Sebelum ini, Modul HSE hanya wajib untuk kursus EICF yang menjurus ke arah industri minyak dan gas, tetapi telah dibuat sebagai satu keperluan asas oleh IBTE tahun ini untuk semua pelajar di kesemua tujuh buah kampusnya.

Dalam temu ramah bersama Media Permata, salah seorang pensyarah bagi Modul HSE dari Kampus IBTE, MKJB, Pengiran Mohd Firdaus bin Pengiran Haji Ali berkata, bengkel ini direka untuk melengkapkan tenaga pengajar dengan kemahiran yang diperlukan seperti menguruskan HSE di tempat kerja, memahami pengurusan bahaya dan risiko, tanggungjawab undang-undang dan latihan tingkah laku.

“Modul ini mempunyai empat komponen yang diajar di seluruh dunia, manakala kandungan yang lain adalah khusus untuk setiap kursus yang ditawarkan.

Pengiran Mohd Firdaus semasa membentangkan kertas kerja Modul HSE di Kampus IBTE MKJB.
Pengiran Mohd Firdaus semasa membentangkan kertas kerja Modul HSE di Kampus IBTE MKJB.
Gambar ramai tenaga pengajar dari IBTE yang mengikuti latihan tersebut.
Gambar ramai tenaga pengajar dari IBTE yang mengikuti latihan tersebut.

“Latihan ini menjurus khusus untuk menangani keempat-empat elemen itu dan ditakrifkan sebagai ‘objektif prestasi’ berdasarkan undang-undang dan manual yang dilaksanakan secara seragam untuk semua tempat kerja di Brunei,” jelas beliau lagi.

Beliau menambah, antara latar belakang tenaga pengajar kursus yang mengikuti bengkel ini adalah daripada kursus pelancongan, perniagaan dan ada juga dari kursus komunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Menurutnya lagi, bengkel sedemikian akan terus membolehkan lebih ramai lagi tenaga pengajar IBTE menyampaikan modul kursus berkenaan, yang dilihat sebagai memberi pengetahuan yang tinggi nilainya dalam persekitaran global yang semakin mencabar bagi aspek keselamatan di tempat kerja.

ARTIKEL YANG SAMA