Perkenal teknik mudah pasaran saham

Perkenal teknik mudah pasaran saham

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Bank Baiduri dan anak syarikatnya, Baiduri Capital telah menganjurkan seminar pelaburan yang khusus bagi pelanggan Smart Executive, bertempat di Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Seminar bertajuk ‘Asas Pelaburan: Fundamental Teknik Pelaburan Asas’ itu disampaikan oleh seorang penasihat kewangan dan pakar pelaburan yang berpangkalan di Singapura, Puah Soon Lim, CFA.

Sepanjang 20 tahun dalam bidang kewangan dan pelaburan, Puah mempunyai pengalaman luas mengenai pasaran kewangan, pasaran bon antarabangsa, dagangan, strategi pelaburan dan pengurusan harta.

Lebih 150 orang ahli Smart Executive Bank Baiduri menghadiri seminar itu di mana mereka diberi kursus ringkas mengenai fundamental pasaran saham.

Objektif seminar itu adalah untuk memperkenalkan pelanggan kepada teknik mudah pasaran saham dan cara untuk memulakan pelaburan dalam dunia pasaran saham yang tidak menentu.

Antara ahli Smart Executive yang hadir di seminar anjuran Bank Baiduri dan Baiduri Capital.
Antara ahli Smart Executive yang hadir di seminar anjuran Bank Baiduri dan Baiduri Capital.
Puah Soon Lim ketika menyampaikan ceramah mengenai asas pelaburan.
Puah Soon Lim ketika menyampaikan ceramah mengenai asas pelaburan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Program dan Akaun Khas Baiduri Capital, Hajah Maripaz binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya berkata, seminar itu dianjurkan khusus untuk ahli Smart Executive, iaitu golongan profesional muda yang tidak hanya mempunyai aspirasi tinggi dalam hidup, malah berusaha gigih untuk mengecapnya.

Katanya, Bank Baiduri berusaha untuk mendatangkan para pakar luar yang berpengalaman luas dalam pasaran saham bagi mempertingkatkan lagi portfolio harta pelanggan dan memberikan bantuan untuk mereka menceburi pasaran saham.

Hadir sama pada seminar itu ialah Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon serta pihak pengurusan dan kakitangan Bank Baiduri dan Baiduri Capital.

Menurut Baiduri Capital, pihak mereka akan menganjurkan seminar serupa secara berasingan esok (24 Oktober) di Plaza Sutera Biru bagi kemudahan para ahli Smart Executie yang tinggal di Kuala Belait dan Seria menghadirinya.

ARTIKEL YANG SAMA