Perkenal teknologi fertigasi

Perkenal teknologi fertigasi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Lebih 60 orang telah menghadiri kursus Pengenalan Teknologi Fertigasi yang dianjurkan dan diselaraskan oleh Ameenfarm Agrotech & Trading dengan sokongan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil di akhir kursus yang berlangsung di Dewan Galeri Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kawasan Kemajuan Pertanian, Tungku, pagi tadi, ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanafiah.

Kursus yang bermula pada jam 8 pagi sehingga 11:45 pagi tadi itu telah dikendalikan oleh pakar fertigasi Malaysia, Yaseer Suhaimi Mohd yang juga selaku Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Sejurus selesainya kursus itu, para peserta juga mengadakan lawatan ke tapak fertigasi program belia Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Yaseer Suhaimi Mohd ketika menyampaikan kursus mengenai teknologi fertigasi.
Yaseer Suhaimi Mohd ketika menyampaikan kursus mengenai teknologi fertigasi.
Haji Irwandy menyatakan bahawa kursus teknologi fertigasi adalah untuk mempromosikannya kepada peladang-peladang.
Haji Irwandy menyatakan bahawa kursus teknologi fertigasi adalah untuk mempromosikannya kepada peladang-peladang.

Pengurus Am Syarikat Ameenfarm Agrotech & Trading, Haji Irwandy bin Haji Lois semasa ditemui pihak Media Permata menyatakan bahawa kursus ini bertujuan untuk mempromosikan teknologi fertigasi kepada peladang-peladang di negara ini dan juga rakyat Brunei agar mereka beralih daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden dengan menggunakan teknologi.

Haji Irwandy menjelaskan bahawa salah satu sistem teknologi dalam pertanian adalah dengan menggunakan sistem fertigasi di mana sistem ini menggunakan perairan dan baja dengan serentak ataupun dikenali sebagai ‘precise farming’.

“Dalam sistem fertigasi ini kami hanya membagikan nutrien yang perlu kepada pokok secara tepatnya. Oleh itu dengan adanya sistem ini, di antara faedahnya ialah tumbuhan akan terhindar daripada penyakit-penyakit yang dibawa daripada tanah.”

Selain itu, jelasnya lagi, dengan menggunakan sistem fertigasi ini ia akan dapat mempercepatkan hasil atau memendekkan masa tuaian serta ia membantu memberikan kos efektif kepada para peladang pada masa yang akan datang.

Sehubungan dengan itu, fertigasi ini merupakan sistem berintegrasi bukan sahaja untuk tumbuhan tapi boleh juga digunakan untuk pengurusan ladang.

Beliau menjelaskan lagi, sistem ini menggunakan baja-baja yang tertentu iaitu baja Set A dan baja Set B yang akan digabungkan.

“Syarikat kami telah membuat kajian dengan formula baja untuk fertigasi dan alhamdulillah, kami sudah mengeluarkan beberapa formula contohnya untuk fertigasi lada, fertigasi tembikai wangi, fertigasi tomato dan juga fertigasi timun.”

Kursus pagi tadi itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan Syarikat Ameenfarm Agrotech & Trading merancang menganjurkan kursus yang lebih intensif pada masa hadapan dalam usaha untuk membantu dan memajukan industri pengeluaran sayur-sayuran di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA