Perkenan Tabung Dana Bina Masjid

Perkenan Tabung Dana Bina Masjid

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana Pembinaan Masjid dengan mengikut kaedah dan peraturan yang diperuntukkan mengenainya.

Namun dalam pada itu, tegas Baginda tanggungjawab kerajaan dalam perkara membina dan mengurus masjid, adalah tetap berjalan sebagaimana biasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah semasa berkenan berangkat pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1436H/2015M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.

p01-1_20150501

Titah Baginda, salah satu isyarat dari ajaran Al-Quran dan juga hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ialah membina masjid, iaitu tempat orang-orang Islam beribadat. Amalan membina masjid ini adalah salah satu ‘amal besar’ yang mendatangkan ganjaran sangat lumayan.

Maka itu, tabung dana ini akan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala kerana membina masjid.

Menurut Baginda Sultan, ia akan berlaku secara konsisten sebagai satu peluang keemasan bagi orang-orang Islam untuk bertanam saham di akhirat.

“Saham itu sifatnya unik sehingga tidak terjangkau oleh akal, manakala Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya ‘Barang siapa membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga.’

“Inilah janji Allah Subhanahu Wataala kepada orang-orang yang membina masjid, dan ada pun Tabung Dana yang ada ini, insya Allah akan memungkinkan kita orang-orang Islam di negara ini untuk berkongsi harapan bagi memperolehi janji tersebut.

“Adalah Beta difahamkan, semua kutipan yang terkumpul akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membina masjid baru, termasuk seperti memperbaiki masjid yang sedia ada dan sebagainya.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah turut menyentuh mengenai Al-Quran yang  diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, selaku kitab terakhir yang turun ke dunia ini.

“Ia adalah sangat suci dan agung, sehingga dengan membacanya sahaja pun sudah dikira satu ibadat besar, pahalanya sangat lumayan di sisi Allah. Selain dari membaca, juga telah menjadi keutamaan ialah memahami isi kandungannya.

“Maka untuk itu Kerajaan Beta, melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengungkayahkan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya (Edisi lengkap 30 Juzu’) yang telah dilancarkan pada tahun 2014, bagi tujuan, supaya orang-orang Islam di negara ini dapat menggunakannya sebagai rujukan bagi memahami isi kandungan Al-Quran.”

Menyentuh mengenai tema Musabaqah Membaca Al-Quran pada tahun ini iaitu  ‘Membina Generasi Al-Quran,’ Baginda bertitah, ia bermaksud melahirkn generasi celik Al-Quran yang serba serbi celik. Celik dalam makna pandai membaca dan selepas pandai membaca dikehendaki juga jika boleh, untuk menjadi pakar dalam semua bidang ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran. Inilah maksud Membina Generasi Al-Quran yang seideal-idealnya.

Titah Baginda, semua ajaran Al-Quran adalah untuk mencetuskan amal soleh, sementara amal soleh pula menjadi punca kepada ganjaran baik di akhirat.

Baginda Sultan mengakhiri titah dengan merakamkan tahniah kepada peserta-peserta di semua peringkat pertandingan, khasnya peserta yang sampai ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini.

“Kepada peserta Qari dan Qariah yang akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur nanti, Beta berharap mereka itu akan dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai mutu bacaan yang lebih baik.”

ARTIKEL YANG SAMA