Perketat kawalan barangan bersubsid

Perketat kawalan barangan bersubsid

TAWAU, 30 Nov (Bernama) – Pihak berkuasa tempatan diminta memperketat kawalan barangan bersubsidi di daerah itu bagi mengelak berlakunya penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran contohnya Indonesia.

Cadangan itu disuarakan anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang mahu barangan bersubsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat tempatan sahaja.

“Kita tidak mahu barang-barang bersubsidi ini diseludup keluar dari negara kita hingga menyebabkan penduduk tempatan tidak dapat memanfaatkan subsidi yang diberi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Abdul Ghapur menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjalankan bancian untuk memastikan keberkesanan penggunaan barangan bersubsidi di daerah itu.

“Misalnya penggunaan tong Gas Petroleum Cecair di Pulau Sebatik, dengan adanya kajian yang dijalankan kita akan tahu berapakah jumlah tong gas bersubsidi yang diperlukan oleh setiap rumah di pulau ini dalam tempoh sebulan.

“Mungkin setiap rumah perlukan satu atau dua tong sebulan untuk kegunaan mereka. Jadi, apabila ada yang membeli sehingga 15 tong gas setiap bulan, kita akan tahu ada yang tidak kena di situ,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat setempat supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi di daerah itu.