Perketat keselamatan perairan Sabah

Perketat keselamatan perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Kewujudan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) dapat memperketat lagi kawalan keselamatan di perairan Sabah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tahap keselamatan sama ada di darat, laut mahupun udara yang mantap sekali gus dapat mengelakkan perairan negara diceroboh anasir-anasir yang boleh menggugat ketenteraman serta kedaulatan negara.

“Kita juga akan buat pemantauan lebih kerap, polis mengalu-alukan kerjasama pelbagai hala daripada negara-negara jiran untuk turut sama menjaga keselamatan perairan sempadan,” katanya dalam sidang media bersempena Perhimpunan Bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di sini, hari ini.

Sekiranya Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei dapat bekerjasama memastikan keselamatan perairan, beliau yakin pihak luar tidak akan berani mengambil kesempatan menceroboh kawasan perairan negara masing-masing.

“Dalam hal ini, saya rasa negara-negara jiran hendaklah bersama-sama memastikan keselamatan perairan terjaga … jadi saya rasa sudah sampai masanya usaha ini dibuat,” katanya.

Pembinaan FOB yang menelan belanja RM50 juta itu merupakan insiatif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan polis marin di Pulau Mabul, Semporna dan Kampung Kerakit, Pulau Banggi di Kudat.

FOB Pulau Mabul mula beroperasi Isnin lalu manakala FOB Pulau Banggi akan diaktifkan dalam masa terdekat.

Pelaksanaan operasi bagi kedua-dua FOB itu diketuai Pasukan Polis Marin (PPM) dengan gabungan elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindak Khas (UTK) dan Pasukan 69 Komando.