Perkhemahan PIP tutup tirai

Perkhemahan PIP tutup tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Seramai 211 orang pelajar Tahun 5, 6, 10 dan 11 dari sekolah-sekolah seluruh negara telah diraikan dalam Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi Belia Berwawasan Program ‘Intervention’ Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) 2016.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Taska Yayasan pagi tadi ialah Ahli Lembaga Pengarah selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail dan para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan serta Yayasan.

Yayasan telah melaksanakan projek kelas tuisyen di bawah PIP ini sebagai salah satu inisitiaf Yayasan yang bertujuan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademik daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

Dengan ini, ia akan dapat memastikan mereka untuk meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy semasa menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy semasa menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan.
Sebahagian daripada peserta yang mengikuti perkhemahan berkenaan.
Sebahagian daripada peserta yang mengikuti perkhemahan berkenaan.

Perkhemahan Motivasi Belia Berwawasan PIP ini telah diadakan selama tiga hari bermula 19 Mac yang lalu di mana ia bertujuan untuk menanam semangat positif dan membangun serta membentuk para peserta agar menjadi seorang yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa.

Mulai tahun 2016, program PIP ini telah dilaratkan ke Daerah Temburong dengan melibatkan seramai 43 orang pelajar yang terdiri daripada para pelajar dari lima buah sekolah rendah di Daerah Temburong. Pusat PIP pertama di Daerah Temburong pula ditempatkan di Sekolah Rendah Rataie dan diadakan pada setiap malam Isnin dan Selasa yang telah bermula pada 7 Mac 2016 lalu.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program tiga hari itu, termasuk bengkel pergerakan solat, jati diri belon, aktiviti sukan, pemantapan kerohanian, projek indung dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA