Perkhemahan Sukan Musim Panas JIS meriah

Perkhemahan Sukan Musim Panas JIS meriah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang biasanya sunyi pada Julai dan Ogos kerana para pelajar sedang bercuti, tahun ini meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar yang mengikuti Perkhemahan Sukan Musim Panas yang telah bermula sejak 20 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga 16 Ogos depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perkhemahan berkenaan merupakan sesuatu yang menarik kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu bapa pelajar dan pelajar itu sendiri, bahkan memberi manfaat kepada pelancongan negara kerana secara tidak langsungnya ia menarik keluarga dari luar negara untuk pergi ke Brunei.

Turut menjayakan program berkenaan ialah OneSportMedia, sebuah syarikat yang berpusat di Bangkok, Thailand yang mendatangkan pelatih terkenal dari luar negara dan kakitangan berkelayakan, serta menyediakan format dan susun atur perkemahan.

JIS pula menyediakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekolah berkenaan termasuklah tempat penginapan bagi para tetamu dari luar negara.

Program berkenaan yang mempunyai empat sesi dan setiap sesi berlangsung selama tujuh hari, dengan sesi pertama yang berlangsung sejak 20 Julai lepas telah disertai seramai 30 orang kanak-kanak berumur lapan hingga 16 tahun. Seramai enam orang juga datang dari China dan Turki semata-mata untuk menyertai program berkenaan.

James Guddard ketika melatih kanak-kanak yang mengikuti Perkemahan Sukan Musim Panas di JIS.
James Guddard ketika melatih kanak-kanak yang mengikuti Perkemahan Sukan Musim Panas di JIS.

Pegawai Pelancongan dalam Promosi dan Pemasaran, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Salinah binti Salleh dipetik sebagai berkata, perkara baik tentang perkhemahan ini adalah para ibu bapa dapat menjelajahi Brunei sementara anak-anak mereka mengikuti aktiviti perkhemahan berkenaan.

“Brunei merupakan tempat yang sesuai dalam mengadakan perkhemahan musim panas ini sebab negara ini selamat, aman, kurang gangguan, dan lain-lain, dan sesuai bagi tujuan pendidikan.

“Kami mahu mempromosikannya untuk menarik peserta mengikuti program berkenaan pada masa akan datang. Ia adalah sesuatu yang dapat dibanggakan apabila orang datang dari luar negara bagi menyertai aktiviti seperti perkemahan musim panas ini,” tambahnya sambil melahirkan harapan Kementerian Pendidikan agar sekolah-sekolah lain akan dapat mengikuti langkah yang telah dilakukan oleh JIS kerana ia merupakan salah satu potensi dalam mengembangkan pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, jurucakap JIS pula memberitahu bahawa kebanyakan pelajar-pelajar JIS adalah dari luar negara, oleh yang demikian, mereka dan keluarga mereka memberitahu mengenai perkhemahan berkenaan kepada keluarga dan rakan mereka di negara asal.

“Satu cabaran yang telah dihadapi adalah kebanyakan orang di luar negara tidak mengetahui tentang Brunei. Apabila mereka mendengar tentang Brunei, mereka tidak tahu bagaimana bagusnya Bahasa Inggeris digunakan di Brunei. Oleh itu, kami telah memasarkan Brunei sebagai sebuah negara yang berbahasa Inggeris juga kerana Bahasa Inggeris digunakan dengan baik di sini,” jelas jurucakap berkenaan.

Pengetua JIS, Barnaby Sandow pula dipetik sebagai berkata, “Saya sangat gembira bahawa kemudahan-kemudahan yang kami ada dapat digunakan ketika musim cuti persekolahan kami bagi meningkatkan kebolehan kesukanan kanak-kanak secara khususnya.”

Pelbagai aktiviti diadakan dalam program perkhemahan berkenaan, antaranya belajar bermain bola keranjang, berenang dan bola sepak. Selain bidang kesukanan, juga terdapat aktiviti-aktiviti lain seperti robotik, lukisan, kraf, memasak, kewartawanan, dan pengucapan awam.

Antara pelatih terkenal yang dijemput untuk melatih para pelajar dalam perkhemahan tersebut ialah Terry Butcher, iaitu bekas pemain bola sepak dan jurulatih antarabangsa yang telah bermain dan menjadi ketua pasukan England; James Guddard, finalis tiga kali dalam sukan Olimpik; dan juga Rachel Downie, seorang penyampai berita sukan.

ARTIKEL YANG SAMA