Perkhidmatan awam di Sabah perlu responsif

Perkhidmatan awam di Sabah perlu responsif

KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) – Perkhidmatan awam di Sabah perlu responsif menjayakan inisiatif menangani cabaran yang digariskan kerajaan bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan secara berkesan kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman berkata selaku pelaksana kepada dasar kerajaan, terdapat keperluan secara drastik yang perlu dilaksanakan dalam perkhidmatan awam termasuk melakukan perubahan, mengadaptasi dan meningkatkan kompetensi.

“Di peringkat negeri, pelbagai pendekatan telah dan sedang dilaksanakan untuk menangani cabaran ketidakseimbangan ekonomi negara termasuk memastikan pekeliling tentang garis panduan perbelanjaan secara berhemat bagi mengurangkan pembaziran.

“Garis panduan langkah penjimatan perbelanjaan mengurus juga dilaksanakan dan ia perlu dipatuhi semua jabatan atau agensi,” katanya pada majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di sini, Isnin.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah dan kira-kira 1,300 penjawat awam daripada kumpulan pengurusan tertinggi, profesional serta pegawai kanan jabatan.

Sukarti berkata setiap agensi di negeri ini perlu memberi perhatian serius terhadap pematuhan garis panduan berkenaan dan melaksanakan perancangan strategik serta pengurusan kewangan yang cekap agar sistem penyampaian agensi masing-masing tidak terjejas berikutan pelaksanaan inisiatif itu.

Sementara itu, beliau menyeru penjawat awam di Sabah agar tidak terlibat dengan anasir-anasir luar seperti terlibat dalam kumpulan militan dan fahaman ekstrem mensabotaj kerajaan dengan mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan.

“Penjawat awam perlu mengelak mengkritik kerajaan secara terbuka tanpa asas melalui media sosial atau terpengaruh dengan isu-isu politik semasa.

“Penglibatan dalam aktiviti itu tidak selari dengan dasar kerajaan dan prinsip sebagai penjawat awam yang jelas merupakan satu kesalahan,” tegas Sukarti.