Perkhidmatan awam pemangkin sektor swasta

Perkhidmatan awam pemangkin sektor swasta

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Keupayaan perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu dan berintegriti adalah salah satu faktor penting dalam menyumbang dan memangkin pembangunan Sektor Swasta secara berterusan, manakala itu, peningkatan produktiviti sektor swasta adalah perlu bagi memacu peningkatan hasil dan sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Oleh itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata di bawah keutamaan belanjawan meningkatkan produktiviti negara, penekanan akan terus diberikan kepada meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam dan sektor swasta. Menurut beliau, untuk mendokong hasrat tersebut beberapa inisiatif akan terus diambil bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, antaranya meningkatkan penggunaan aplikasi ICT melalui projek-projek e-Kerajaan, yang bukan sahaja membantu meningkatkan tahap perkhidmatan, tetapi juga kecekapan dan keberkesanan kos perkhidmatan yang diberikan.

Bagi Tahun Kewangan 2016/2017 ini, ujar beliau lagi, kerajaan akan terus menyediakan peruntukan-peruntukan bersesuaian bagi menyediakan dan meningkatkan kapasiti e-services bagi mendokong kecekapan pengurusan-pengurusan perkhidmatan awam yang antara lainnya termasuklah $75.1 juta juga bagi kegunaan teknologi maklumat kementerian-kementerian secara keseluruhan; dan di bawah RKN, sejumlah $17.7 juta dengan Harga Rancangan $326.7 juta untuk keperluan Teknologi Maklumat dan Info-Komunikasi. Tambah Yang Berhormat Pehin lagi, penekanan akan juga diberikan dalam memastikan perbelanjaan kerajaan adalah bagi membiayai program dan aktiviti yang berkeutamaan sahaja (priority spending).

Dalam perkara ini, kementerian-kementerian akan meneliti semula kesesuaian bagi mengurangkan atau meniadakan sama sekali aktiviti-aktiviti yang tidak berkeutamaan dan tidak produktif bagi menjimatkan perbelanjaan yang mana akan didokong oleh pengemaskinian Struktur organisasi, strategi-strategi, business plans dan business processes dalam kementerian-kementerian dan setiap jabatan kerajaan.

Setiap kementerian juga disarankan untuk meneliti kaedah memperbadankan, penswastaan dan pengkomersilan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

Dari sudut sumber pembiayaan pembangunan infrastruktur, beliau berkata, modaliti Public-Private Partnership (PPP) juga akan diberikan penekanan selaras dengan Strategi Pembangunan Infrastruktur dalam Wawasan Brunei 2035. Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus melaksanakan beberapa inisiatif bagi mendokong perkembangan penyelidikan dan inovasi di negara ini yang boleh memberi impak kepada produktiviti dan daya saing negara serta bagi meningkatkan produktiviti sektor swasta. Antaranya ialah melalui aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang ditumpukan bagi meningkatkan produktiviti dan sumbangan kepada KDNK Negara melalui hasil-hasil R&D yang dikomersialkan.

Antara usaha-usaha yang sedang dilaksanakan termasuklah melalui Skim Insentif Penyelidikan Brunei (BRISc) yang bertujuan untuk memperkembangkan aktiviti R&D di negara ini; penubuhan Pejabat Pendaftaran Pelbagai Tumbuhan di bawah Pejabat Harta Intelek Brunei BEDB (BruIPO) dan pelaksanaan Perlindungan Pelbagai Tumbuhan (PVP) 2015 yang berkuatkuasa mulai 1 April 2015 di bawah BruIPO; dan menyediakan peruntukan bagi R&D, termasuk $22.5 juta dengan Harga Rancangan $242.3 juta bagi keperluan R&D, Sains dan Teknologi, dan Inovasi, serta $792,800 bagi Makmal Diagnostik dan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perikanan.

ARTIKEL YANG SAMA