Perkhidmatan bantuan untuk peniaga

Perkhidmatan bantuan untuk peniaga

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Pengusaha dan pemilik perniagaan serta orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pengecualian bagi sebahagian lesen perniagaan yang diumumkan hari ini, bolehlah berbuat demikian melalui tiga cara perkhidmatan bantuan perniagaan.

Tiga cara tersebut ialah melalui perkhidmatan Business Helpdesk, Business Portal (www.business.gov.bn) dan talian Darussalam 123.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, Business Helpdesk yang ditubuhkan oleh Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, dibuka setiap Rabu dan Jumaat mulai 9 pagi hingga 4 petang (kecuali hari Jumaat ditutup mulai 12:00 tengah hari hingga 2 petang).

Ia terletak di Tingkat 1, Design & Technology, Simpang 32-37, Anggerek Desa Technology Park. Business Helpdesk ini dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Buruh dan Bahagian Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) untuk memberikan nasihat dan garis panduan mengenai proses dan permohonan perniagaan.

Perkhidmatan online juga boleh dilayari 24 jam setiap hari di alamat http://business.gov.bn/businesshelpdesk/Home.aspx.

Kelmarin, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pengecualian Lesen Perniagaan ke atas beberapa aktiviti perniagaan bermula 1 Januari 2016, sebagai langkah berterusan untuk mempermudah memulakan dan menjalankan perniagaan di negara ini.

Aktiviti-aktiviti perniagaan yang diberi pengecualian lesen itu ialah seperti kedai roti, kedai makan, tempat kunjungan dan hiburan orang ramai yang lain, penjaja, peniaga kenderaan bermotor, stesen minyak termasuk tempat menyimpan minyak dan bahan-bahan mudah terbakar, kedai runcit, stor kayu dan kilang perabot serta bengkel.

Menurut KHEDN lagi, Pusat Sokongan Perniagaan (Business Support Centre) akan dilancarkan oleh DARe pada April 2016.

Ia akan beroperasi lima hari seminggu dan mengambil alih sepenuhnya peranan Business Helpdesk yang ada pada masa ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai dengan Business Support Centre ini, bolehlah menghubungi hotline +6738363442 atau e-mel kepada dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA