Perkhidmatan dalam talian di Afghanistan meningkat

KABUL – Seorang penghantar makanan warga Afghanistan, Sarajuddin, berusia 24 tahun, memberhentikan motosikalnya di jalan berdebu sekitar bandar Kabul yang pernah dilanda peperangan dan menelefon pelanggannya untuk bertanyakan tempat: “Saya berada di jalan kedua. Arah mana perlu saya tuju selepas ini?”

Ketika penduduk Afghan cuba berjinak-jinak dan teruja membeli-belah secara online (dalam talian), perkhidmatan penghantaran di bandar itu semakin giat aktif dijalankan walaupun berhadapan dengan pusat pemeriksaan keselamatan yang begitu banyak, kawalan dan sekatan lalulintas yang dijaga rapi dan keadaan jalan yang rosak. Begitu juga ancaman serangan dan letupan yang masih berterusan.

Sesat di rangkaian jalan raya Kabul yang berselirat, Sarajuddin selalu tiba lewat di tempat destinasinya, kadang-kadang dalam beberapa jam. Kemudian dia terpaksa melayan karenah pelanggan yang marah kerana terpaksa menunggu lama.

“Anda tidak tahu berapa lama masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi yang dituju di Kabul,” katanya kepada AFP, dan berharap penghantarannya selepas itu akan dihantar cepat dan pantas.

“Anggaran masa dan jarak di Kabul boleh berakhir dengan lebih teruk lagi.”

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kebanyakan usahawan generasi baru Afghanistan mula berjinak-jinak dalam sektor pasaran dalam talian, yang kini mencapai lapan juta orang, kurang daripada satu pertiga daripada penduduk boleh mengakses Internet. – AFP

Ia mungkin satu masalah yang akan menjadi lebih teruk di mana perkhidmatan penghantaran di Kabul terpaksa berusaha lebih demi memenuhi permintaan pasaran e-dagang yang semakin meningkat di negara ini.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kebanyakan usahawan generasi barunya mula berjinak-jinak dalam sektor pasaran dalam talian, yang kini mencapai lapan juta orang, kurang daripada satu pertiga daripada penduduk boleh mengakses Internet.

Kedai-kedai dalam talian menawarkan pelbagai tawaran dari tasbih sehinggalah krim badan dan kebanyakan daripada mereka menggunakan rangkaian media sosial popular seperti Facebook untuk mempromosikan produk-produk mereka.

“Kami berjanji untuk menghantar barang-barangan kepada pelanggan dalam tempoh satu jam, namun ia boleh mengambil masa dua jam atau lebih untuk mencari sesebuah alamat,” kata Ahmad Asmar Faqiri, yang baru sahaja melancarkan Foodbooking, sebuah perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian di Kabul baru-baru ini.

“Di Kabul, ia sangat memeningkan kepala. Dalam kebanyakan kes, walaupun anda sudah sampai ke destinasi yang dituju, namun pekerja kami perlu membuat sekurang-kurangnya tiga kali panggilan untuk menyampaikan kepada pengguna.”

Tambahan masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan penghantaran di Kabul adalah ketiadaan pembayaran mudah alih, ini bermakna para pelanggan perlu membayar secara tunai semasa penghantaran.

Pihak kerajaan mengatakan bahawa ia cuba untuk membangunkan sistem pemprosesan-transaksi, namun buat usahawan Lais Shujja memberitahu AFP bahawa “isu ini sering diperkatakan setakat ini.”

Sarajuddin menunggang motosikalnya di jalan raya di Kabul. – AFP
Sarajuddin menelefon salah seorang pelanggannya sambil mencari alamat yang tepat. – AFP

Pada masa ini, perhidmatan penghantaran cepat mesti membawa wang tunai bersama dengan mereka, menjadikan mereka sasaran utama perompak di sebuah bandar yang dilanda keganasan.

Pada masa yang sama, sebuah kenderaan penghantaran makanan Food-booking telah diserang baru-baru ini semasa hendak membuat penghantaran kepada salah seorang pelanggan. Penyerang telah memukul pekerja tersebut sebelum mencuri duit, telefon bimbit dan juga motosikalnya, kata Faqiri.

Kerajaan Afghanistan berharap sektor e-dagang embrionik, yang mana para pegawai menganggarkan bernilai ‘jutaan dolar’, boleh membantu menghasilkan pekerjaan di mana jumlah pengangguran berada dalam 40 peratus.

Shah Faisal, berusia 27 tahun, mengambil risiko atau taruhan yang besar tiga tahun lalu, menggunakan seluruh simpanannya bernilai AS$3,000 buat perniagaan pakaian dalam talian. Sejak daripada itu, jualannya telah melonjak naik. Dia kini memiliki 20 orang pekerja.

“Keluarga saya bimbang yang saya akan jatuh rugi. Rakan-rakan saya berkata yang saya ini terlalu naïf dan ada juga yang mengejek tentang idea saya ini,” katanya.

Walaupun banyak masalah yang dihadapi dalam sektor ini, termasuk kekurangan peraturan terhadap kualiti produk yang dijual secara dalam talian, para pegawai tetap optimis.

“Tiada apa-apa yang bermula dengan sempurna tetapi permulaan kejayaan perniagaan dalam talian ini telah menggalakkan yang lainnya,” kata Naqibullah Laraway, pengarah kewangan Dewan Perniagaan dan Industri Afghanistan, memberitahu AFP semasa seminar pemasaran e-dagang dan digital yang diadakan di Kabul baru-baru ini. – AFP